Tokyo 2020: Azizulhasni, Shah Firdaus layak ke pusingan kedua 1/16
Bernama
Ogos 4, 2021 17:26 MYT
Ogos 4, 2021 17:26 MYT
TOKYO: Pelumba berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya melepasi perlumbaan Repechage masing-masing bagi melayakkan diri ke Pusingan Kedua 1/16 acara pecut lelaki di Olimpik Tokyo hari ini.
Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai 'The Pocket Rocketman' dan Muhammad Shah Firdaus layak, apabila memenangi perlumbaan Repchage masing-masing, selepas kedua-dua mereka tewas pada perlumbaan Pusingan Pertama 1/32 yang berlangsung sebelum itu.
Azizulhasni yang menemui prestasinya berjaya mengalahkan pelumba Colombia Santiago Quintero Chavarro dan Ethan Mitchel dari New Zealand pada Saringan 1, manakala Muhammad Shah Firdaus mengungguli Saringan 2 dengan mengetepikan cabaran Hugo Barrette (Kanada) dan Mateusz Rudyk (Poland).
Pada Pusingan Pertama 1/32, Harrie Lavreysen dari Belanda mengalahkan Muhammad Shah Firdaus pada Saringan 2, manakala juara bertahan Jason Kenny (Great Britain) menewaskan Azizulhasni pada Saringan 8.
Azizulhasni akan bertemu Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago pada Saringan 4 Pusingan Kedua 1/16, manakala Muhammad Shah Firdaus akan bertemu Jack Carlin dari Great Britain pada Saringan 3.
Terdahulu Juara Dunia Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus layak ke Pusingan Pertama 1/32 selepas masing-masing menduduki tempat ke-17 (9.626 saat) dan ke-23 (9.700 saat).
-- BERNAMA