Tokyo 2020: Azizulhasni, Shah Firdaus harapan terakhir Malaysia

Bernama
Ogos 7, 2021 05:39 MYT
Sekiranya kedua-dua pelumba berkenaan melepasi saingan di suku akhir pagi ini, mereka akan bersaing di peringkat separuh akhir dan final yang akan berlangsung pada hari yang sama. - Gambar fail
TOKYO: Hari terakhir, peluang terakhir.
Setelah hanya meraih satu pingat gangsa ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal melabuhkan tirai, kontinjen Malaysia mengharapkan kayuhan menakjubkan daripada jaguh lumba basikal negara Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menghadirkan pingat, hari ini.
Aksi kedua-dua pelumba negara itu pastinya mendebarkan jutaan peminat sukan tanah air apabila mereka dijadual turun bagi memburu pingat, sekali gus merealisasikan sasaran tiga pingat buat Malaysia pada temasya Olimpik kali ini.
Azizulhasni, 33, dan Muhammad Shah Firdaus, 25, mengesahkan slot di peringkat suku akhir acara keirin selepas masing-masing melepasi cabaran pusingan pertama di Velodrom Izu, Shizuoka, kira-kira 175km dari bandar raya ini, semalam.
Sekiranya kedua-dua pelumba berkenaan melepasi saingan di suku akhir pagi ini, mereka akan bersaing di peringkat separuh akhir dan final yang akan berlangsung pada hari yang sama.
Berbekalkan pengalaman dan reputasi cemerlang meraih pingat gangsa pada temasya Olimpik 2016 di Rio, seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar Azizulhasni mampu menghadiahkan sebutir pingat terutamanya pingat emas pertama negara di temasya Olimpik.
Begitu juga, Muhammad Shah Firdaus, selepas bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke peringkat suku akhir walaupun terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara keirin semalam, aksi pelumba kelahiran Muar, Johor itu sekali lagi ditagih untuk menyumbangkan pingat buat negara.
BACA: Tokyo 2020: Shah Firdaus laung semangat 'kamikaze', sahkan bertanding esok!
BACA: Tokyo 2020: "Doakan kejayaan saya bawa pulang pingat emas "- Azizulhasni
Terdahulu dalam saingan pusingan awal semalam, Azizulhasni mengungguli pusingan pertama saringan tiga untuk melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya tanpa perlu melalui repechages, seperti yang dilaluinya dalam acara pecut.
Sementara Muhammad Shah Firdaus yang terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua, bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam Saingan Satu pusingan pertama repechages di belakang Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.
Kejayaan itu menyaksikan pelumba berumur 25 tahun itu melakar perkembangan membanggakan dalam penampilan sulungnya dalam acara keirin Olimpik, terutama apabila beliau 'terselamat' di Saringan Dua pusingan pertama selepas berlanggar dengan Jack Carlin dari Great Britain.
Kemalangan itu turut menyaksikan Muhammad Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu kiri akibat perlanggaran dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan yang dimulakan semula, dan mengharungi cabaran dalam saingan repechages.
BACA: Tokyo 2020: Muqharabbin tawar RM25,000 buat Azizulhasni, Shah Firdaus jika berjaya bawa pulang emas
BACA: Tokyo 2020: Azizulhasni tepati ramalan, walau terjatuh Shah Firdaus bangkit rebut tiket suku akhir
Dalam saingan suku akhir, Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.
Sementara, Muhammad Shah Firdaus akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai perubatan kontinjen negara bahawa Muhammad Shah Firdaus berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami patah tulang rusuk seperti dilaporkan sebelum ini.
"Saya berada di sana (Velodrom Izu), pelanggaran yang berlaku itu impaknya kelihatan begitu menakutkan. Namun, kesungguhan Shah Firdaus bangkit semula dalam repechages dan akhirnya mara ke suku akhir, sebenarnya satu kekuatan yang ditunjukan oleh beliau.
"Di dalam ambulans pun dia masih minta dia nak turun bertanding. Tapi apa pun bagi saya, keselamatan dan keadaan kesihatan Shah Firdaus adalah keutamaan," katanya dalam klip video yang dikongsikan kepada media daripada pejabat Menteri Belia dan Sukan.
BACA: Tokyo 2020: Shah Firdaus disah tidak patah rusuk, peluang rebut pingat kembali bersinar
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus dalam Instagramnya menyatakan beliau dalam keadaan baik dan berjanji akan mempamerkan prestasi terbaik pada perlumbaan hari ini.
Sementara itu, di Kasumigaseki Country Club, pemain golf wanita negara Kelly Tan mempamerkan persembahan baik untuk menduduki tempat ke-34 keseluruhan pada hari terakhir kempennya di Sukan Olimpik Tokyo semalam.
Keputusan itu bermakna Kelly berjaya memperbaiki rekod dalam penampilan kedua beliau pada Sukan Olimpik, selepas menduduki tempat ke-51 di Rio 2016.
Pemain golf berumur 27 tahun itu menamatkan saingan pusingan akhir dalam acara individu wanita dengan mendaki 14 anak tangga daripada kedudukan kelmarin, untuk berkongsi kedudukan di tempat ke-34 dengan Min Lee dari Taiwan, Celine Boutier (Perancis) dan Pia Babnik (Slovakia).
Setakat ini, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, dalam acara beregu badminton lelaki.
-- BERNAMA
#Tokyo 2020 #Olimpik Tokyo #olimpik 2020 #jaguh basikal negara #Azizulhasni Awang #harapan terakhir #pingat #golf #Kelly Tan #keirin #Malaysia #Shah Firdaus
;