Tokyo 2020: Azizulhasni kian berkobar-kobar selepas terima gelaran Datuk
Astro Arena
Julai 18, 2021 04:00 MYT
Julai 18, 2021 04:00 MYT
ATLET berbasikal trek, Azizulhasni Awang, mendapat suntikan semangat sebelum bersaing dalam Sukan Olimpik Tokyo apabila dianugerahkan darjah kebesaran, Datuk Paduka Mahkota Terenganu (DPMT) daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang membawa gelaran Datuk.
Pemenang pingat gangsa acara keirin temasya Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017 itu antara 10 orang yang menerima anugerah DPMT pada Ahad.
Atlet kelahiran Dungun berusia 33 tahun itu, bagaimanapun, memberi jaminan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo yang bermula Jumaat ini tetap menjadi keutamaannya.
"Walaupun terima anugerah yang besar ini, di medan pertempuran saya tetap Azizul macam biasa, tetap The Pocket Rocketman.
"Misi saya tidak berubah malah penganugerahan ini seperti motivasi tambahan untuk saya berjuang habis-habisan di sana.
"Seperti sedia maklum, saya adalah salah seorang prospek untuk membawa pulang pingat emas. Tekanan itu kian terasa tapi alhamdulillah semuanya begitu tenang, berjalan lancar.
"Penganugerahan ini membakar lagi semangat saya yang berkobar-kobar ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, pada Ahad.
Azizulhasni pada awalnya menyangka perkhabaran bakal menerima gelaran itu hanya satu bentuk gurauan sebelum menerima surat rasmi daripada pihak istana.
"Perasaan saya bercampur baur sebab terkejut, gembira, terharu dan juga tidak sangka diberi anugerah terbesar ini khususnya daripada sultan negeri Terengganu sendiri.
"Ini satu penghargaan terbesar untuk diri dan karier saya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak istana, menjunjung kasih tuanku, Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung," katanya di Nadi Weekend.