Tok Gajah Tamat kemaru 21 tahun, muncul juara Piala Malaysia 2013
Bernama
November 4, 2013 08:15 MYT
November 4, 2013 08:15 MYT
Pahang menamatkan penantian selama 21 tahun bagi menjulang Piala Malaysia apabila mengalahkan juara bertahan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.
Penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti muncul wira skuad Tok Gajah selepas menyumbat gol tunggal menerusi tandukan pada minit ke-58 selepas memanfaatkan hantaran daripada Azamuddin Mohd Akil.
Kemenangan itu merupakan kejayaan ketiga Pahang merangkul piala berprestij itu selepas tahun 1983 dan 1992.
Pada pertarungan antara pasukan gergasi Pantai Timur itu musim ini, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang dengan melancarkan serangan berbahaya namun gagal menyudahkan sebarang percubaan pada separuh masa.
Pemain tengah Kelantan, Indra Putra Mahayuddin gagal menggunakan peluang terhidang pada minit ke-18 apabila sepakan percuma daripada jarak 20 meter hanya sedikit melepasi pintu gol Pahang yang dijaga rapi oleh Khairul Azhan Khalid.
Pemain skuad Tok Gajah, R.Surendren hampir meletakkan pasukan berkenaan di hadapan pada minit ke-27 namun sepakan beliau terkena tiang gol Kelantan.
Selepas Conti membuka tirai jaringan, Kelantan di bawah bimbingan jurulatih Bojan Hodak terdesak dancuba mencari gol penyamaan dengan rembatan kencang oleh Dickson Nwakaeme tidak berhasil apabila ditepis keluar oleh penjaga gawang Pahang.
Kelantan gagal memanfaatkan peluang apabila sepakan percuma yang dilakukan oleh kapten pasukanya Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-76 tersasar dari gawang gol.
Khairul Azhan sekali lagi bertindak cemerlang untuk pasukan 'Tok Gajah' apabila menafikan cubaan bahaya yang dilakukan oleh Nwakaeme pada minit ke-84.
Penyerang pasukan Pahang, Azamuddin Mohd Akil dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia 2013.
Walaupun cuaca hujan sepanjang petang ini, lebih 85,000 penyokong dari kedua-dua pasukan dengan lautan kuning dan merah mula memenuhi stadium sejak dari pukul 7 jam tadi.