Tok Gajah rangkul gelaran ketiga
Astro Arena
Julai 7, 2018 23:33 MYT
Julai 7, 2018 23:33 MYT
Pahang dinobatkan juara Piala FA 2018 yang ketiga buat wakil Pantai Timur itu setelah menundukkan Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Di sebalik kelembaban penjualan tiket selain faktor demam Piala Dunia, kehadiran penyokong final Piala FA masih memberangsangkan.
Finalis tahun lalu itu menebus kekecewaan tumpas kepada Kedah menerusi jaringan Nor Azam Azih dan Patrick Cruz pada setiap babak manakala Issey Nakajima-Farran tidak dapat diturunkan berikutan peraturan Piala FA hanya membenarkan empat pemain import diturunkan.
Nor Azam yang menjana gerakan dari bahagian tengah merobek pintu gol lawan menerusi rembatan leret untuk menewaskan Khairul Azhan Khalid pada minit ke-23 sebelum Tok Gajah mengukuhkan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh Cruz, minit ke 57.
Pahang di bawah kendalian Dollah Salleh bermula garang sebaik wisel ditiupkan dengan Mohamadou Sumareh lincah bergerak di sebelah sayap kanan.
Sumareh beberapa kali mencipta gerakan berbahaya di dalam kotak penalti namun tindakan susulan rakan-rakannya kurang berkesan untuk merobek gawang lawan.
Austin Amutu mencetuskan debar pada minit ke-10 namun percubaan gagal menepati sasaran meskipun tidak dikawal sesiapa sebelum gol Nor Azim menyusul.
Pahang memperolehi dua kesempatan dalam tempoh terdekat untuk menokok jaringan melalui percuma Nor Shahrul Idlan Talaha yang tepat ke dakapan penjaga gol manakala Safuwan Baharuddin melonjak tinggi namun tandukannya belum cukup untuk menggugat Khairul Azhan.
Gergasi Merah, bagaimanapun, memperkemaskan pada penghujung babak pertama yang menuntut ketangkasan Helmi Eliza Elias.
Pahang meneruskan rentak sama sebaik permainan bersambungan dan kekasaran Alfonso de La Cruz ke atas Amutu membawa padah apabila dia bukan sahaja dilayangkan kad kuning, malah menghadiahkan penalti kepada pihak lawan.
Patrick Cruz melaksanakan tanggungjawab dari jarak 12 meter itu dengan tenang, menyepak ke arah kiri dan mengenai kaki Khairul Azhan tetapi masih menuju ke dalam gol.
Kem Selangor terus merungut akibat beberapa keputusan pengadil tidak memihak kepada mereka yang menyaksikan Ilham Udin Armaiyn terjatuh di dalam penalti selepas ditolak Matthew Davies pada minit ke-75, sebaliknya Pahang diberikan sepakan percuma susulan kekasaran Razman Roslan ke atas Amutu.
Selangor terus bergelut untuk mengatur gerakan berbahaya dan percubaan terbaik mereka untuk merapatkan kedudukan hadir pada masa kecederaan dan sekali lagi, Helmi memastikan gawangnya terus kebal dengan menepiskan keluar percubaan pemain gantian, Evan Dimas Darmono.