TNB cipta sejarah rangkul gelaran 'treble' buat julung kali

Bernama
Mac 9, 2024 07:40 MYT
Pasukan TNB meraikan kemenangan mereka setelah menjuarai Kejohanan Hoki Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melengkapkan musim 2024 dengan bergaya apabila memenangi kejuaraan ketiga selepas menewaskan juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) 4-2 pada final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Kejayaan skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu membolehkan TNB melakar sejarah merangkul gelaran treble buat kali pertama selepas muncul juara Piala Sumbangsih dan mengungguli saingan Liga Hoki Malaysia musim ini.
Pada pertembungan final itu, THT kendalian Mohd Harfizi Baharom mendahului dua kali apabila Faizal Saari menjaringkan gol padang berkelas dunia pada minit keenam sebelum TNB menyamakan kedudukan hasil gol padang Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-19.
Dua minit kemudian, THT yang muncul juara treble edisi lalu kembali berada di depan selepas Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak jaringan padang kedua pasukan.
Namun, kedudukan 2-1 itu tidak bertahan lama apabila anak didik Nor Saiful pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti pemain kebangsaan Korea Selatan Jang Jong Hyun.
TNB mengesahkan kemenangan 4-2 selepas Mughni Mohamad Kamal dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing menjaringkan gol padang pada minit ke-33 dan ke-36 sekali gus menamatkan penantian pasukan untuk mencipta kejayaan bersejarah itu.
Kejayaan muncul juara Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB menyaksikan TNB membawa pulang hadiah wang kemenangan masing-masing berjumlah RM50,000 dan RM25,000 sementara THT meraih RM15,000 selaku naib juara Piala TNB.
Dalam pada itu, Muhammad Azrai dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir selain mengekalkan status sebagai penjaring terbanyak musim ini dengan mengumpul keseluruhan 32 gol dalam kedua-dua kempen liga dan Piala TNB.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Nor Saiful ternyata berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya biarpun ketinggalan dua kali sebelum meraih kemenangan.
"Kemenangan yang bagus untuk TNB...treble pertama dan kami tidak sabar untuk menyediakan sebuah pasukan yang lebih baik tahun depan,"katanya.
Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung petang tadi di sini menyaksikan Maybank menewaskan UiTM HA-KPT 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 1-1 pada masa permainan sebenar.
-- BERNAMA
#TNB #THT #Piala TNB #Stadium Hoki Nasional
;