TMJ tegur penyokong 'malas' ke stadium

Madiha Abdullah
Mei 1, 2018 15:04 MYT
TMJ tidak dapat menahan rasa kecewa apabila bilangan penonton yang turun ke stadium keramat mereka, Stadium Larkin, semakin berkurangan.
PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegur sikap penyokong pasukan itu yang disifatkan terlalu mudah berputus asa susulan prestasi turun naik pasukan tersebut sejak kebelakangan ini.
Dalam entri di akaun Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail menyatakan rasa kesalnya apabila bilangan penonton yang turun ke stadium keramat mereka, Stadium Larkin, semakin berkurangan.
"Sepatutnya ketika pasukan dalam krisis, penyokong perlu berada di belakang pasukan.
"Jikalau penyokong tidak mahu ke stadium kerana kami di tangga kesembilan, saya boleh faham lagi. Tetapi, kita empat mata di hadapan dalam pertandingan yang paling penting setiap tahun iaitu Liga Super," katanya.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia itu lantas meminta penyokong agar mengubah mentaliti terkebelakang itu kerana sikap positif dalam kalangan penyokong amat penting dalam memastikan pasukan dapat terus bangkit, seterusnya mengukuhkan kedudukan di tempat teratas.
"Saya letak berjuta-juta ringgit pun dalam bola sepak Johor hanya buang masa sahaja. Jika masih sama seperti ini, bola sepak Johor tidak akan ke mana-mana," tambah TMJ.
Prestasi tidak menentu JDT sejak kebelakangan ini menjadi perbualan ramai, terutama sekali selepas kali pertamanya terkeluar dari saingan Piala AFC di peringkat kumpulan, baru-baru ini.
#bola sepak #Facebook #JDT #Johor Darul Takzim #presiden #TMJ #Tunku Ismail #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;