TMJ sah bertanding jawatan presiden FAM
Astro Arena
Februari 6, 2017 14:22 MYT
Februari 6, 2017 14:22 MYT
PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah akan bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kongres pemilihan persatuan itu 25 Mac depan selepas 14 ahli gabungan negeri menghadap dan memohon perkenan Sultan Johor.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Yusoff Mahadi, mengesahkan 14 ahli gabungan negeri yang menghadap Sultan Johor berjaya mendapat perkenan baginda untuk Tunku Ismail bertanding jawatan itu.
Sebelum ini, Tunku Ismail tidak memberi pengesahan sama ada akan bertanding atau tidak kerana perlu mendapat restu Sultan Johor.
"Satu-satunya halangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk bertanding jawatan presiden adalah kerana kekangan daripada ayahanda baginda yang tidak mengizinkan untuk bertanding.
"Jadi, selepas mendapat restu daripada Sultan Ibrahim, TMJ menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden," jelas Yusoff.
Yusoff menjangkakan calon lain untuk jawatan presiden mungkin menarik diri, namun ia terserah kepada calon-calon tersebut untuk membuat keputusan sebelum 13 Februari ini.
Senarai calon akhir yang bertanding akan dibentangkan dalam mesyuarat exco FAM pada 20 Februari ini.
#JDT
#Johor Darul Ta'zim
#kongres pemilihan
#perkenan Sultan Johor
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Presiden FAM
#TMJ
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#yusoff mahadi