TMJ lepas jawatan Presiden FAM, dipilih Pengerusi MFL

Bernama
Mac 25, 2018 19:00 MYT
Tunku Mahkota Johor menunjukkan surat peletakan jawatannya sebagai Presiden FAM ketika sidang media Kongres Tahunan FMLLP kedua 2018 di Johor Bahru hari ini. - Foto Sinar Harian
Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengesahkan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), yang berlangsung di sini.
Pada majlis yang sama, baginda dipilih secara rasmi sebagai Pengerusi Malaysia Football League (MFL), nama baharu FMLLP yang kini melalui proses penjenamaan semula.
Tunku Ismail yang memegang jawatan Presiden FAM selama setahun, mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta merta, kepada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.
Ketika mengumumkan perkara tersebut, TMJ berkata selepas setahun memimpin FAM, baginda sudah membawa struktur dan sistem baharu dalam badan induk bola sepak negara itu, antaranya mengadakan mesyuarat bersama exco secara berkala di setiap negeri.
“(dan) kalau kita tengok, saya juga dapat membawa banyak penaja dan pertama kali dalam sejarah setiap pasukan yang bersaing terima geran RM3 juta (bagi Liga Super) dan RM1 juta (Liga Premier). InsyaAllah, ia (geran berkenaan) akan meningkat.
“Kalau dilihat dari segi struktur, hubungan dengan penyokong, lebih baik berbanding sebelum ini dan kita boleh tengok pasukan kebangsaan bawah 23, bawah 19 dan bawah 16 tahun menunjukkan prestasi cemerlang sehingga layak ke Piala Konfederasi Asia (AFC) buat kali pertama,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Kedua FMLLP 2018 di sini hari ini.
Tunku Ismail berkata baginda selalu dinilai menerusi prestasi pasukan kebangsaan, namun tidak menyalahkan penyokong kerana banyak pihak melihat dirinya sebagai seorang pesaing.
“Ramai melihat saya bukan sebagai Presiden FAM, (tetapi) sebagai pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Pasukan terhebat dalam negara ini dan ramai melihat saya sebagai pesaing, jadi ramai yang nilai adalah mereka yang kurang arif, kurang bijak,” kata Tunku Ismail.
Justeru, Tunku Ismail berkata baginda tidak mahu membuang masa berkhidmat kepada segelintir pihak yang disifatkan sebagai “kurang pandai”.
Tunku Ismail seterusnya berkata baginda pernah memaklumkan kepada Hamidin untuk memimpin FAM selama setahun.
Bagaimanapun, Hamidin kemudian memohon kepada Tunku Ismail untuk mempertimbangkan keputusan berkenaan dan menerajui badan induk bola sepak negara itu selama tempoh satu penggal berbanding setahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata pelantikan Tunku Ismail sebagai Pengerusi MFL berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata keputusan itu dicapai setelah kesemua 24 pemegang taruh organisasi berkenaan, sebulat suara memilih Tunku Ismail untuk menerajui FMLLP.
Selain itu, kongres itu juga bersetuju menjadikan MFL sebagai sebuah badan bebas dan tidak terikat dengan FAM.
"Pemilihan Tunku Ismail selaku pengerusi MFL dibuat berdasarkan kedudukannya selaku pemilik Kelab JDT dan bukan melalui jawatan dalam FAM.
"Kesemua 24 pemegang taruh juga bersetuju menggubal perlembagaan sedia ada bagi meningkatkan lagi mutu dan imej liga serta industri bola sepak tempatan," kata Kevin bahawa proses pertukaran nama dan penjenamaan semula FMLLP, yang merupakan badan pengelola Liga Malaysia itu, dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 90 hari.
-- BERNAMA
#bola sepak #FAM #FMLLP #Hamidin Mohd Amin #JDT #letak jawatan #Presiden FAM #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;