TMJ hanya perlu satu penggal untuk ubah bola sepak negara
Astro Arena
Februari 23, 2017 10:08 MYT
Februari 23, 2017 10:08 MYT
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan hanya memerlukan tempoh satu penggal untuk meningkatkan mutu bola sepak negara jika memperoleh mandat sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kongres ke-53 badan itu, 23 Mac nanti.
Sentuhan Tunku Ismail sudah terbukti selepas menyaksikan kebangkitan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia.
Wawasan Tunku Ismail untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara akan bersandarkan kepada pembangunan akar umbi yang efektif dan penswastaan Liga Malaysia.
Dua elemen itu diyakininya dapat membantu skuad senior kebangsaan bangkit untuk mencabar kejayaan lebih besar di peringkat Asia, dengan kelayakan ke Sukan Olimpik antara sasaran realistik.
"Saya rasa ia (perubahan) mengambil masa kurang dari empat tahun atau mungkin kurang dari dua tahun.
"Saya yakin kerana saya percaya apabila kita meletakkan setiap komponen di tempat yang betul, Insya-Allah kita akan lihat banyak perubahan yang drastik dan positif," katanya ketika ditemui dalam sesi pertemuan bersama penyokong bola sepak di ibu negara, semalam.
Tunku Ismail, yang akan bersaing dengan penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, untuk kerusi presiden FAM, mahu badan induk itu bersedia dengan perubahan radikal.
Pemilik JDT itu turut berpandangan sudah tiba masa FAM bebas daripada pengaruh individu yang hanya menggunakan kedudukan dalam badan induk itu sebagai kepentingan peribadi.
"Jikalau ada unsur-unsur politik, saya tidak tahu saya boleh menang atau tidak tetapi itu terpulang kepada ahli gabungan dan juga rakyat.
"Apa yang rakyat inginkan. Terpulang kepada ahli gabungan siapa mereka pilih, itu bukan kuasa saya. Pada saya 50-5," ujarnya.
Tunku Ismail meluangkan masa selama dua jam bersama penyokong bola sepak tanah air untuk berkongsi perancangannya jika menjadi presiden FAM.