Tinju Piala Agong kembali selepas lebih sedekad

Astro Arena
Januari 8, 2023 10:20 MYT
IRUAN: Kita mahu menarik minat masyarakat kepada tinju dan beri peluang kepada atlet negara bersaing dengan atlet luar negara. - Foto Astro ARENA
PERSEKUTUAN Tinju Malaysia (PTM) akan mengadakan semula Piala Agong pada tahun ini selepas lebih sedekad.
Menurut Presiden PTM Datuk Iruan Zulkefli, dia akan berbincang dengan ahli majlis tertinggi bagi memutuskan tarikh kejohanan itu dengan harapan ia boleh diadakan berdekatan sempena sambutan Hari Merdeka.
Kali terakhir Piala Agong dianjur adalah di Alor Setar pada 2012.
"Kami akan mengadakan semula Piala Agong, yang mana kami akan menjemput atlet-atlet dari luar negara. Terbuka kepada mana-mana negara untuk menyertai kejohanan ini.
"Ia supaya menarik minat kepada tinju dan untuk memberi peluang kepada atlet negara bertembung dengan atlet-atlet dari luar negara," katanya kepada Nadi Weekend semalam.
Sementara itu, enam slot untuk ke Sukan SEA Mei ini masih lagi terbuka buat 25 petinju terbaik negara.
Dan persiapan untuk temasya di Kemboja itu bakal berbeza berbanding edisi sebelum ini.
"Kali ini kami hanya akan hantar atlet negara berlatih sebulan di Thailand, berbanding sebelum ini dihantar ke Uzbekistan dan Kazakhstan.
"Walaupun Thailand bukan pusat tumpuan tinju, tapi ramai atlet luar yang tidak menyertai Sukan SEA datang berlatih di sana," katanya.
#Piala Agong #tinju #Iruan Zulkefli #Sukan SEA
;