Tinju: Pemilihan jurulatih baharu dari Uzbekistan langkah tepat

Bernama
Disember 2, 2021 17:17 MYT
Enam atlet terbaik dan berdisplin tinggi akan dipilih mewakili negara ke Uzbekiztan, pada Kejohanan Tinju Asia U22 ASBC yang akan berlangsung pada bulan hadapan. - Gambar hiasan
IPOH: Pemilihan Rustam Saidov sebagai jurulatih baharu dari Uzbekistan adalah keputusan tepat bagi skuad tinju negara, kata Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.
Beliau berkata komitmen yang ditunjukkan jurulatih berusia 43 tahun itu yang juga bekas pemenang pingat gangsa kategori heavywieght Sukan Olimpik Sydney adalah amat tinggi, sejak melaporkan diri di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat pada Februari lepas.
"Saya bersyukur atas komitmen yang kita nampak cukup tinggi. Harap atlet Malaysia yang dilatih Rustam dapat mencontohinya, dengan menunjukkan displin yang cukup tinggi," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Naik Taraf Pusat Latihan Tinju Negeri Perak di sini hari ini.
Mohamad Iruan berkata, enam orang atlet yang terbaik dan berdisplin tinggi akan dipilih mewakili negara ke Uzbekiztan, pada Kejohanan Tinju Asia U22 ASBC yang akan berlangsung pada bulan hadapan.
"Sebagai persiapan, kita akan pergi lebih awal pada 2 Jan dan semua atlet terbaik yang terpilih akan dihantar menjalani latihan di luar negara, supaya mereka dapat meningkatkan permainan pada temasya itu," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi Sukan SEA yang sepatutnya dijadualkan berlangsung dari 21 November lepas hingga hari ini di Hanoi yang ditunda pada tahun hadapan, beliau berkata ia sedikit tergendala susulan pandemik COVID-19, namun prestasi para atlet kebangsaan dan atlet negeri akan dinilai pada kejohanan Piala Malaysia bermula 7 hingga 11 Disember ini.
"Atlet pada hari ini ramai atlet muda malah mungkin pertama kali mewakili negara dan peringkat tinggi di Sukan SEA dan Komanwel.
"Harap rakyat Malaysia mendoakan atlet berumur antara 21 dan 22 tahun akan membawa pingat emas pada Sukan Sea dan kita harap pecah rekod yang terlalu lama pingat emas Komanwel pada 1998, lalu jadi harap dapat buat kejutan pada tahun hadapan," katanya.
Terdahulu, Mohamad Iruan menyerahkan kelengkapan peralatan tinju berjumlah kira-kira RM10,000 bagi kegunaan pusat latihan yang telah dinaik taraf sejak dua bulan lepas, sebagai persiapan para atlet menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di ibu negara pada tahun hadapan.
Menurutnya sebanyak 15 Pusat Latihan Tinju yang terdapat di seluruh negara menjalani kerja-kerja menaik taraf dan pihaknya bercadang membuka lebih banyak pusat latihan di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet tinju untuk mewakili negara.
"Contohnya di Perak, kita dalam perancangan untuk buka pusat latihan tinju di beberapa kawasan termasuk di Bagan Serai dan Lenggong jadi anak muda di negeri ini boleh bersukan tinju," katanya.
-- BERNAMA
#jurulatih #tinju #Uzbekistan #atlet tempatan
;