Tingkat prosedur kawalan orang ramai di venue sukan - Ti

Bernama
Oktober 2, 2022 07:15 MYT
Ti ketika sidang media selepas acara pelancaran Malaysia Esports League (MEL) 2022 di ESI Hub @ Spacerubix, Kuala Lumpur, 2 Okt 2022. --fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Prosedur kawalan orang ramai yang berkesan di venue sukan memainkan besar dalam mengelakkan kejadian tidak diingini, seperti tragedi berdarah yang mengorbankan lebih 150 orang dalam rusuhan selepas perlawanan bola sepak di Indonesia pada Sabtu, di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata selain mengharapkan penyokong dapat mengawal emosi, anggota penguat kuasa yang bertugas di venue, juga perlu bijak dalam mengawal keadaan dan provokasi supaya tidak mencetuskan suasana lebih tegang.
Katanya beliau bimbang sekiranya isu kawalan orang ramai di venue sukan tidak diambil serius, kemungkinan besar tragedi sama boleh berlaku di negara ini.
"Kawalan kumpulan adalah salah satu perkara yang perlu kita lihat di sini, kerana sekarang orang ramai lebih cenderung untuk 'memberontak' berbanding dulu, yang mudah mendengar kata. Jadi kekerasan bukan lagi satu pilihan terbaik, penguat kuasa perlu bijak kawal keadaan.
"Bagi saya ini adalah satu cabaran yang perlu dihadapi, ia bukan mengenai sukan itu tetapi berkaitan individu... penyokong tersebut. Masalah (rusuhan) ini berlaku apabila peminat terlampau kecewa dan geram," katanya pada sidang media Pelancaran Liga E-Sukan Malaysia 2022 di sini, semalam.
BACA: Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Malaysia ambil iktibar - Faizal Azumu
Angka kematian akibat rusuhan pada pertembungan 'derby Jawa Timur' antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, meningkat kepada 125, demikian menurut Agensi Anadolu (AA) memetik ketua polis Jawa Timur Nico Afinta semalam.
Selain itu lebih 100 orang turut cedera dalam insiden itu, dan mereka sedang dirawat di lapan hospital.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rusuhan Stadium Kanjuruhan kejadian kedua terburuk dalam sejarah dunia
Sebuah video yang dikongsi di media sosial menunjukkan peminat, berpakaian merah dan biru, menyerbu padang selepas Arema tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya dan bertembung dengan pasukan keselamatan yang kelihatan memakai pakaian anti rusuhan.
Selepas penyokong pasukan tuan rumah yang kalah menyerbu padang, pegawai melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, sekali gus mencetuskan rempuhan dan kes sesak nafas.
Berikutan insiden rusuhan itu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengambil keputusan menggantung saingan Liga Indonesia selama seminggu, selain dilapor telah mengharamkan Arema daripada menganjurkan perlawanan di laman sendiri sehingga penghujung musim.
-- BERNAMA
#ti lian ker #kawalan di venue sukan #rusuhan Stadium Kanjuruhan #penguatkuasaan
;