Tindakan BWF gantung Zulfadli, Chun Seang wajar - Khairy
Bernama
Mei 3, 2018 20:16 MYT
Mei 3, 2018 20:16 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung dua pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang daripada menyertai sebarang pertandingan badminton adalah wajar.
Beliau berkata hukuman yang berat haruslah diberikan bagi kesalahan mengatur perlawanan.
"Dalam isu rasuah sukan, isu mengatur perlawanan dan sebagainya, saya rasa keputusan itu keputusan yang wajar... tetapi masih ada ruang untuk membuat rayuan.
"Itu terpulang kepada mereka untuk merayu atau tidak tetapi pendirian kita di Kementerian Belia dan Sukan, kita tidak berkompromi apabila timbul isu mengatur perlawanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program tinjauan mesra di hadapan Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar di sini, hari ini.
Khairy berkata demikian sebagai mengulas keputusan BWF yang menggantung Zulfadli dan Chun Seang, masing-masing 20 dan 15 tahun, kerana melanggar Kod Tatatertib BWF melibatkan aktiviti pertaruhan serta mengatur dan menentukan keputusan perlawanan.
Penggantungan mereka berkuat kuasa 12 Jan tahun ini – tarikh kedua-dua pemain itu digantung secara bersyarat oleh BWF.
Selain dikenakan hukuman gantung, Chun Seang juga dikenakan denda AS$15,000 (RM59,000), manakala Zulfadli didenda AS$25,000 (RM98,000) oleh Panel Etika Pendengaran BWF. -- Bernama
#atur perlawanan
#badminton
#BWF
#Khairy Jamaluddin
#rasuah sukan
#Tan Chun Seang
#Zulfadli Zulkiffli