Tindakan agresif Damok 'makan diri' di Sepang

Bernama
November 12, 2023 17:08 MYT
Pelumba negara, Syarifuddin Azman yang mewakili pasukan MT Helmets MSI beraksi pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Tindakan agresif pelumba Moto3 negara Syarifuddin Azman pada aksi perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2023, memakan diri sendiri apabila terlibat kemalangan sekali gus menamatkan saingan di tempat tercorot, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Menceritakan detik kemalangan yang dialami ketika berbaki tiga pusingan, pelumba berusia 22 tahun yang lebih dikenali sebagai Damok di bawah kendalian pasukan MT Helmets-MSi berkata beliau ketika itu, sedang berusaha merapatkan jurang bersama pelumba di hadapan, kerana yakin mampu membutirkan mata.
"Saya memintas satu pelumba dan cuba untuk mengejar pelumba hadapan dan mungkin telah melebihi limit, jadi saya cuba untuk kejar dari selekoh dan saya hilang kawalan, mungkin kerana terlalu agresif.
"....sewaktu di pusingan ke-10, saya melihat berada di kedudukan (untuk kejar mata) jadi yakin boleh menamatkan saingan di kedudukan ke-13, namun bukan rezeki saya minggu ini," katanya yang menamatkan saingan di kedudukan ke-20 dengan 34 minit 25.180 saat.
Damok bagaimanapun kekal optimis masih mampu memberi saingan, apabila semakin menemui rentak untuk mengendali jentera KTM dengan berbaki dua lagi perlumbaan Grand Prix di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar (17-19 Nov) dan Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol (24-26 Nov).
"Saya harap pasukan kekalkan jentera yang sama untuk perlumbaan seterusnya, jadi saya lebih yakin ...berbaki dua pusingan ini, saya harap saya dapat menunjukkan sesuatu dan kutip mata," katanya.
Sementara itu, Collin Veijer dari Liqui Moly Husqvarna Intact GP merangkul kejuaraan Moto3 selepas mencatat masa 33:30.072s sementara rakan sepasukannya Ayumu Sasaki dari Jepun, menduduki tempat kedua dengan 33:30.138s, diikuti Jaume Masia dari Leopard Racing berada di tempat ketiga dengan 33:30.400s.
Sementara itu, pelumba wildcard Moto2 negara Helmi Azman daripada kumpulan Petronas MIE Racing RW, bersyukur apabila beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke-23, setelah merekodkan 37:14.318s dengan selamat di hadapan peminat tempatan.
"Ini salah satu perlumbaan terbesar dalam hidup saya, jadi bersyukur sebab dapat habiskan perlumbaan di hadapan penonton yang sangat ramai. Sebelum ini saya berlumba tidak begitu ramai, di tahap sekarang memang tahap perlumbaan yang tinggi," katanya.
Seorang lagi wakil negara yang turut mendapat tiket wildcard, Azroy Hakeem Anuar mengakui kecewa selepas gagal menamatkan perlumbaan setelah terjatuh dua kali, ketika dalam litar SIC.
"Hari ini tak rasa positif langsung sebab pusingan pertama jatuh tapi tiada lakukan kesilapan, tahu-tahu saya jatuh dan sekali lagi terjatuh jadi saya tidak tahu sebab apa. Bila tanya dekat pasukan mereka kata mungkin kerana tayar," katanya.
Pelumba Beta Tools SpeedUp Fermin Aldeguer muncul juara di Sepang bagi kelas Moto2, selepas mencatatkan masa 36:04.378s diikuti Pedro Acosta dari Red Bull KTM Ajo di tempat kedua (36:11.506s) dan pelumba OnlyFans American Racing, Marcos Ramirez di kedudukan ketiga (36:13.936s).
-- BERNAMA
#MotoGP #gp malaysia #Syarifuddin Azman #Damok #Moto3
;