Tiket separuh akhir Piala AFF masih ada

Bernama
Disember 8, 2012 11:05 MYT
Orang ramai masih berpeluang mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2012 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S.Sivasundaram berkata setakat ini sebanyak 18,000 daripada 85,000 tiket yang disediakan, telah terjual.
"Dalam tempoh kurang lapan jam selepas kaunter dibuka, 10,000 tiket telah dijual di Shah Alam, manakala 8,000 tiket terjual di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata penjualan tiket menyaksikan perlawanan itu begitu menggalakkan dan orang ramai dinasihat untuk membelinya lebih awal.
Sivasundaram berkata sebanyak 65,000 tiket akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil, manakala bakinya di Stadium Shah Alam.
Harga tiket perlawanan yang akan bermula 8 malam itu, adalah RM40 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak. Tempat duduk adalah bebas.
Perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia bertemu Thailand akan berlangsung di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Dis.
Sivasundaram berkata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan B antara Malaysia menentang Indonesia, sebanyak 70,000 tiket terjual.
#Malaysia #Piala AFF #Thailand
;