Tiket Piala FA habis, penyokong Kelantan berang

Fadzrie Hazis
Jun 26, 2013 19:18 MYT
Situasi ketandusan tiket final Piala FA di Kelantan pada Selasa, jelas menimbulkan kerisauan dan mengecewakan peminat bola sepak tempatan yang tetap setia menyokong saingan tempatan.
Kira-kira seribu peminat setia The Red Warriors, datang seawal jam 6.30 pagi untuk mendapatkan tiket, tetapi dikecewakan apabila ia habis dijual kurang dari sepuluh minit selepas kaunter jualan dibuka.
Justeru ia tidak mengejutkan, apabila segelintir penyokong hilang kawalan sehingga merempuh masuk ke dalam perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Bagi Presiden Kelab Kelate Dot Net, Mahizi Mahmood, insiden yang berlaku pada Selasa amat mengecewakan.
"Sesetengah peminat datang dari Gua Musang, Kuala Krai untuk mendapatkan tiket, tetapi gagal memperoleh tiket final.
"Kita berharap, pihak Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) akan dapat menangani masalah ini dengan segera kerana penyokong Kelantan terlalu teruja untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka," kata Mahizi ketika ditemui wakil Astro Awani di Kota Bharu.
Dalam pada itu,penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa pula hanya mengeluarkan kenyataan menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.
"Saya kecewa kerana syor saya supaya lapan ribu tiket disimpan untuk jualan terbuka tidak dipatuhi. Ia kerana terdapat permintaan kelab-kelab penyokong dan kumpulan yang membeli secara pukal dilayan termasuk selepas tarikh tutup pada 15 Jun lalu.
"Saya sudah tentu tak dibenarkan campur tangan oleh FAM kerana ini termasuk dalam aktiviti berkaitan bola sepak anjuran FAM. Namun saya berharap KAFA dapat buat rayuan tambahan tiket untuk orang ramai," kata Annuar.
Apa sekali pun punca kejadian ini, FAM serta KAFA perlu memastikan sama ada terdapat kebenaran terhadap dakwaan sesetengah peminat, bahawa terdapatnya penjualan tiket palsu.
Jika benar dakwaan itu, gejala ini perlu diatasi segera, kerana sokongan peminat tempatan mungkin terjejas jika ia tidak ditangani.
#Piala FA #Stadium Sultan Muhammad V
;