Tiket 'online' separuh akhir Malaysia menentang Vietnam habis dalam 48 jam

Israr Khalid
Disember 3, 2014 22:20 MYT
Tiket 'online' separuh akhir Malaysia menentang Vietnam habis dalam 48 jam
Dijual bagai goreng pisang panas!
Dalam masa 48 jam, tiket separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dengan Vietnam yang dijual secara atas talian habis terjual.
Tinjauan Astro AWANI di laman sesawang itu mendapati tiket perlawanan yang dijual pada pukul 9 pagi Selasa itu habis menjelang petang Rabu.
Walau bagaimanapun, peminat serta penyokong tegar Harimau Malaya masih boleh mendapatkan tiket di kaunter jualan yang akan dibuka di Stadium Malawati, Shah Alam bermula Jumaat ini.
Tiket berharga RM40 untuk dewasa manakala RM10 untuk kanak-kanak bawah usia 12 tahun, akan dijual dari jam 10 pagi hingga 7 petang dan akan dijual sehingga sebelum bermula perlawanan pada jam 8.45 malam Ahad.
Tiket separuh akhir Malaysia menetang Vietnam di laman tickethotline.com.my habis dalam masa 48 jam dijual - Gambar tickethotline.com.my
Stadium Shah Alam dipilih sebagai lokasi perlawanan Malaysia dengan Vietnam, menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil kerana mutu padang di stadium tersebut tidak berada pada tahap yang terbaik.
Stadium yang turut menjadi kubu kuat untuk pasukan Selangor itu dibina pada 1994, mampu menampung kapasiti sehingga 80,932 penonton pada setiap perlawanan.
Malaysia berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan juara edisi lepas, Singapura dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan penutup kumpulan B di Stadium Nasional Singapura Sabtu lepas, sekaligus menyingkirkan tuan rumah daripada saingan.
Tiga gol Harimau Malaya dijaringkan Safee Sali, Safiq Rahim dan Indra Putra Mahyuddin manakala gol Singapura dijaringkan Khairul Amri.
Skuad kebangsaan sebelum itu bergelut untuk mempamer aksi meyakinkan di bawah kendalian jurulatih baru, Dollah Salleh selepas tewas kepada Thailand 2-3 dan sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Myanmar.
Vietnam memulakan saingan peringkat kumpulan dengan keputusan seri 2-2 menentang Indonesia, sebelum menampilkan rentak cemerlang apabila menang 3-0 ke atas Laos dan membenam Filipina dengan jaringan 3-1.
Persiapan kem negara kini dilihat sedikit terganggu apabila dua pemain tonggak, Shukor Adan dan Amri Yahyah terpaksa diketepikan untuk perlawanan menentang Vietnam selepas masing-masing mengumpul dua kad kuning.
Bagaimanapun, kekosongan yang ditinggalkan Amri mungkin akan diisi pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin manakala Shukor akan diganti Fadhli Shas.
Pastinya, jurulatih, Dollah Salleh yang pernah membawa Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2013 mempunyai resipi tersendiri dalam memastikan impian Malaysia untuk sekali lagi muncul juara Asia Tenggara tercapai.
#bolasepak #Malaysia #online #stadium #tiket #Vietnam
;