Tiket final Piala Malaysia habis dalam 30 minit
Bernama
Oktober 26, 2016 16:08 MYT
Oktober 26, 2016 16:08 MYT
Bahang final bola sepak Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah pada Ahad ini semakin terasa apabila ribuan penyokong Selangor membanjiri Stadium Shah Alam di sini, hari ini bagi mendapatkan tiket.
Tidak terkecuali terdapat penyokong pasukan Kedah yang turut hadir untuk mencuba nasib mendapatkan tiket namun hampa apabila mereka perlu menunjukkan kad pengenalan.
Kebanyakan mereka sanggup bermalam dan tidur di dalam kereta sejak malam tadi bagi memastikan tidak terlepas peluang menyaksikan perlawanan bersejarah itu.
Sebanyak 72,000 keping tiket termasuk 2,000 keping tiket kanak-kanak, dikeluarkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk aksi final itu. Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 30,750 tiket termasuk 700 tiket untuk kanak-kanak dijual di kaunter untuk kedua-dua pasukan hari ini dan bakinya secara dalam talian.
Tinjauan Bernama mendapati perkarangan stadium sesak sebelum kaunter tiket dibuka pada 10 pagi ini dan berlaku sedikit kekecohan namun terkawal.
Bagi dua penyokong Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Arzziem Darwin, 32, dan rakannya Nor Haslina, 25, mereka berada di stadium seawal 6 pagi untuk mendapatkan tiket.
"Seorang hanya dibenarkan membeli empat tiket sahaja. Kami mengambil peluang membeli kesemua empat tiket untuk anggota keluarga bagi memastikan mereka turut berpeluang menyaksikan perlawanan akhir ini," kata mereka kepada Bernama.
Penyokong 'The Red Giant', Sainan Wahab, 52, berkata dia yang datang ke stadium pada kira-kira 9 pagi tidak berpeluang mendapatkan tiket kerana sudah ramai orang dan tiket habis dijual pada 10.30 pagi.
"Saya agak kecewa kerana tiket habis begitu cepat iaitu 30 minit selepas penjualan dibuka. Saya tidak pernah ketinggalan menyaksikan Piala Malaysia sebelum ini dan masih berharap sekiranya ada lagi tiket yang akan dijual," katanya yang juga bekas pengadil bola sepak.
Penyokong Kedah, Ismadi Razak, 22, berkata dia sanggup mengambil cuti hari ini semata-mata mahu mendapatkan tiket namun gagal kerana pihak pengurusan Stadium Shah Alam hanya menjual tiket kepada warga Selangor.
Menurut pekerja swasta itu, dia datang seawal 6 pagi untuk mendapatkan tiket dan berjaya sampai di kaunter tetapi kecewa apabila tidak dibenarkan membeli tiket berikutan berasal dari Kedah.
"Pihak pengurusan turut meminta saya tunjukkan kad pengenalan. Saya kecewa dan tidak bersetuju dengan cara baru ini yang meminta penyokong menunjukkan kad pengenalan kerana perkara tersebut tidak pernah terjadi sebelum ini," katanya.
FMLLP merupakan badan khas yang mengelola perjalanan Liga Malaysia bermula musim 2016.
Tiket dewasa ditetapkan RM50 sekeping manakala tiket kanak-kanak untuk usia 12 tahun ke bawah RM5.
Selangor yang merupakan juara bertahan, mara ke final setelah menang agregat 5-1 ke atas T-Team manakala Kedah menang agregat 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi separuh akhir. -- BERNAMA