Tiger Woods mungkin tidak mampu beraksi lagi
Astro Arena
Julai 12, 2016 19:09 MYT
Julai 12, 2016 19:09 MYT
NICK Faldo menyuarakan kebimbangan bahawa juara 14 kali dalam kejohanan golf utama, Tiger Woods, tidak akan mampu bermain lagi selepas ini.
Woods tidak beraksi sejak Kejohanan Wyndham pada Ogos tahun lalu, dengan menjalani pelbagai pembedahan terhadap belakangnya.
Faldo, juara kejohanan utama sebanyak enam kali, khuatir dengan masa depan Woods, dan berasakan kerjaya pemain berusia 40 tahun itu mungkin sudah berakhir.
“Secara fizikal, saya tidak fikir dia dalam keadaan baik. Jika anda menonton promosi yang dilakukannya untuk kejohanannya baru-baru ini apabila dia berjalan ke tee, anda akan dapat melihatnya,” katanya kepada akhbar Mirror dan Express.
"Belakangnya sudah menjadi ketat. Dia memberitahu dia telah menjalani tiga pembedahan ke atas belakangnya tetapi dia masih tidak cukup fleksibel seperti yang diperlukan untuk golf.
“Jadi, saya fikir adalah malang kerana dia tidak kelihatan baik untuk bermain semula sebagai pemain golf.
“Kita sama-sama lihatlah nanti.”
Dengan ketiadaan Woods, tumpuan utama kini menjadi milik Jason Day, Jordan Spieth dan Rory McIlroy sambil Dustin Johnson memenangi Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat.
Faldo teruja melihat kemunculan satu himpunan baru bintang menjelang Terbuka British bermula Khamis ini.
“Empat tahun lalu, saya dikritik kerana mengatakan Tiger semakin perlahan dan barangkali sudah memenangi gelaran utama terakhirnya.
“Semua gelaran-gelaran utama ini kini akan dibahagi-bahagikan dan jika pemain-pemain muda ini mahukannya, mereka harus bersaing untuknya dan itulah yang sedang mereka lakukan.”