Tiga wakil negara julang gelaran Terbuka Sepanyol

Astro Arena
Jun 20, 2021 07:27 MYT
Kisona (gambar) hanya memerlukan 31 minit untuk mengatasi Goh Jin Wei, melakar gelaran keenamnya dalam Siri Terbuka BWF. - Foto Facebook Badminton Association of Malaysia
MALAYSIA melengkapkan satu lagi kejayaan yang tidak dapat dilupakan di Eropah apabila merangkul tiga gelaran dalam Kejohanan Badminton Terbuka Sepanyol menerusi S. Kisona, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Kai Wun-Teoh Mei Xing.
Ia mungkin hanya kejohanan di peringkat keempat tetapi tetapi ia tidak menghalang Malaysia untuk mendominasi.
Kemenangan seperti itu pasti melonjakkan semangat pemain sandaran negara untuk menang di peringkat antarabangsa.
Kisona hanya memerlukan 31 minit untuk mengatasi pencabar senegara, Goh Jin Wei, untuk melakar gelaran keenamnya dalam Siri Terbuka Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu terlebih dahulu menyingkirkan Yaelle Hoyaux dari Perancis untuk menempah pertemuan sesama negara.
Kisona bergelut dengan prestasi pada awal tahun ini yang menyaksikan terkandas awal dalam Kejohanan All-England sebelum menarik diri daripada Kejohanan Masters Sepanyol ekoran dianggap belum bersedia.
Sebelum itu, Goh menafikan cabaran seorang lagi pemain Malaysia, Eoon Qi Xuan, untuk final senior pertamanya dalam tempoh empat tahun.
Justeru, jurulatih perseorangan wanita, Indra Wijaya, bangga dengan kesemua gelaran yang dirakamkan.
"Saya gembira dan bangga dengan hasilnya. Ini hanya permulaan. Pertahankan semangat dan motivasi untuk mencapai yang lebih baik di masa depan, ”katanya.
Sumber Facebook BAMalaysia
Beregu campuran, Kai Wun-Mei Xing, melengkapkan gelaran pertama dalam kejohanan sulung mereka dengan kemenangan 21-15, 13-21, 21-19 ke atas pilihan ketiga dari England, Callum Hemming-Jessica Pugh.
Kudrat Kai Wun sekali lagi ditagih dan kali ini meneruskan perjuangannya di samping Wei Chong untuk menundukkan wakil Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar, 21-15, 21-18 bagi merangkul gelaran beregu lelaki.
"Acara beregu campuran paling sukar untuk kami. Kami hanya buat persediaan yang cukup dan saling berbincang.
"Pihak lawan tukar strategi hingga menyebabkan kami kehilangan mata.
"Komunikasi dengan jurulatih selain perubahan strategi mendorong kemenangan kami dalam set ketiga.
"Saya mampu kekalkan kecergasan kerana tidak fikir tentang keletihan dan tumpu permainan sendiri.
"Kami menunjukkan persembahan yang mantap untuk pergi lebih jauh. Kami akan terus saling menyesuaikan diri dan bersedia untuk menghadapi kejohanan akan datang," kata Kai Wun.
"Kejayaan ini akan menjadi semangat untuk saya berjuang pada masa akan datang," kata Kai Wun di laman sosial Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ini merupakan gelaran kedua mereka selepas memenangi Terbuka Poland, Mac lalu.
Secara keseluruhan, pencapaian kempen jelajah di Eropah kali ini cukup memberangsangkan buat pemain kebangsaan apabila turut memenangi dua gelaran di Terbuka Austria pada awal bulan ini.
#BAM #badminton #Terbuka Sepanyol #Persatuan Badminton Malaysia #S Kisona #Man Wei Chong #Tee Kai Wun #Teoh Mei Xing #Malaysia #goh jin wei #BWF
;