Tiga sukan jadi sandaran pingat pada Sukan Olimpik Rio 2016

Bernama
Jun 30, 2016 23:17 MYT
Tunku Imran tidak menolak kemungkinan sukan layar turut mempunyai potensi menyumbang pingat berdasarkan prestasi dua wakil sukan itu. -Gambar fail
Tiga jenis sukan iaitu badminton, berbasikal dan terjun telah dikenal pasti oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai prospek pingat untuk kontinjen negara pada Sukan Olimpik Rio 2016, Ogos ini.
Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar bagaimanapun tidak menolak kemungkinan sukan layar turut mempunyai potensi menyumbang pingat berdasarkan prestasi dua wakil sukan itu.
"Kami tidak mahu meletakkan sebarang sasaran pingat bagi memastikan atlet dapat menumpukan perhatian terhadap melakukan persediaan yang lebih baik untuk temasya sukan itu," katanya pada sidang media selepas majlis tajaan oleh tiga syarikat kepada kontinjen Malaysia di sini pada Khamis.
Bata Malaysia akan menyediakan sepasang kasut kulit dan kasut sukan Power untuk setiap atlet dan pegawai manakala dua syraikat, Entogenex Industries Sdn Bhd dan Pax Flora Sdn Bhd akan menaja barangan penjagaan diri bagi mencegah gigitan nyamuk.
Ketua Kontinjen Negara, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid, yang hadir sama pada majlis itu, memberi jaminan bahawa atlet dan pegawai kontinjen tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan wabak Zika kerana MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengambil langkah-langkah pencegahan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan atlet negara supaya tidak keluar daripada Perkampungan Sukan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini sepanjang temasya sukan itu dari 5 hingga 21 Ogos ini.
"Saya difahamkan pihak penganjur Sukan Olimpik Rio akan menyediakan bahan penjauh nyamuk dan memasang jaring penghalang nyamuk di tempat penginapan di Perkampungan Sukan dan kami juga akan mengambil langkah-langkah tertentu,"katanya.
#Sukan Olimpik #sukan pelayaran #Tunku Imran