Tiga rekod dunia, #terbangLatifterbang trending di laman sosial
Madiha Abdullah
September 12, 2016 11:00 MYT
September 12, 2016 11:00 MYT
KEM Paralimpik negara terus ceria apabila atlet lompat jauh negara, Abdul Latif Romly, menyumbangkan pingat emas ketiga negara dalam temasya Paralimpik 2016 di Rio, malam tadi.
Tiga emas sememangnya satu pencapaian cukup gemilang buat negara, terutama sekali selepas harapan emas negara di Olimpik belum dapat direalisasikan.
Latif bukan sahaja memenangi pingat emas, malah lebih membanggakan, atlet berusia 19 tahun itu memecahkan tiga rekod dunia!
Ia menjadi satu indikatif kecemerlangan dan kehebatan Latif yang sebelum ini pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia di Doha tahun lalu, selain membawa pingat dengan warna yang sama di Sukan Para Asean 2014 di Incheon.
Pengguna laman sosial nyata menyanjung tinggi kejayaan Latif, apabila hashtag #terbangLatifterbang trending di Twitter.
Ucapan tahniah menggunakan hashtag tersebut membanjiri laman sosial, menyatakan rasa teruja dan bangga dengan kejayaan luar biasa Latif.
Difahamkan, anak kelahiran Bukit Keteri, Perlis itu mempamerkan prestasi konsisten sejak pusingan awal dan sering mendahului peserta lain.
Tiga pingat emas yang dimenangi atlet Malaysia meletakkan negara di kedudukan ke 18 (ketika berita ini ditulis) dalam senarai 160 negara yang menyertai Paralimpik edisi kali ini.