Tiga pemain golf terbaik negara terlepas aksi Sukan SEA Hanoi
Bernama
Mac 4, 2022 05:45 MYT
Mac 4, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Golf Malaysia (MGA) terpaksa melupakan khidmat tiga pemain terbaik mereka - pemenang pingat perak Natasha Andrea Oon dan Ashley Lau Jen Wen, serta Khavish Varman Varadan pada Sukan SEA Hanoi dijadual pada 12 hingga 23 Mei depan.
Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata ketiga-tiga pemain golf yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu tidak dapat bersama skuad negara berikutan penglibatan mereka dalam kejohanan di bawah Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA).
Gandingan Natasha dan Ashley Lau yang muncul naib juara acara berpasukan wanita di Sukan SEA Filipina 2019, adalah dua pemain golf wanita negara yang berada di ranking tinggi di Asia Tenggara berdasarkan Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).
Natasha menduduki ranking ke-20 berdasarkan kedudukan terkini dikeluarkan pada 2 Mac, diikuti Ashley Lau di tangga ke-45, manakala Khavish Varman ke-143 dan keempat di Asia Tenggara.
"Bagaimanapun, kita akan membariskan pemain yang hebat, kebanyakannya berpangkalan di AS dan mendapat pendedahan dan persediaan lebih baik di sana memandangkan aksi golf tempatan dijadual bermula Mac, terkesan berikutan pandemik COVID-19.
"Ervin Chang, yang menamatkan saingan di tempat keempat acara lelaki individu di Sukan SEA Filipina, antara harapan pingat utama kita. Malangnya, pemenang pingat perak kita yang menewaskan pemain pilihan dari Thailand, turut tidak dapat beraksi, namun kita boleh menaruh harapan pada pemain lain yang juga berpangkalan di AS," katanya.
Mohd Anwar berkata skuad lelaki negara akan diwakili Nateeshvar Anatha Ganesh (605), Marcus Lim Pang Chuen (863), Yeo Boon Xiang Anson (1,709) dan Lim Beng Keat (1,758) manakala pasukan wanita pula bakal disertai Jeneath Wong (70), Zulaikah Nurziana Nasser (594) dan Geraldine Xiao Xuan Wong (792).
"Pemain negara juga sudah biasa dengan venue pertandingan (Heron Lake Golf Course and Resort), ketika Piala Putra," katanya.
Beliau berkata setakat ini, Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA meluluskan penyertaan pasukan wanita dalam Kategori A (kos dibiayai sepenuhnya), berikutan pencapaian pingat perak pada 2019, tapi MGA mahu membuat permohonan sama untuk pasukan golf lelaki negara.
-- BERNAMA