Tiga pasukan pro rombak barisan pelumba hadapi LTdL 2024
Bernama
September 18, 2024 19:17 MYT
September 18, 2024 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga pasukan profesional Equipo Kern Pharma, Corratec Vini Fantini dan VF Group Bardiani melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pelumba mereka menjelang perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan bermula di Langkawi pada 29 Sept ini.
Menurut kenyataan sekretariat LTdL hari ini, Kern Pharma yang berpengkalan di Sepanyol melakukan enam pertukaran pelumba dengan mempertaruhkan Miguel Angel Fernandez sebagai pelumba pecut utama pasukan itu bagi perlumbaan edisi ke-28 yang berakhir pada 6 Okt ini.
Fernandez, 27, yang memenangi dua peringkat perlumbaan pada Jelajah Hainan bulan lepas akan dibantu empat rakan senegara iaitu Jorge Gutierrez Gonzalez, Ibon Ruiz Sedano, Unai Iribar Jauregi, Pablo Carrascosa Miller, manakala Danny Van Der Tuuk dari Poland.
Kern Pharma sebelum ini menyenaraikan pelumba muda dari Sepanyol Pablo Castrillo yang memenangi dua peringkat di Vuelta a Espana baru-baru ini selain memenangi tempat ketiga keseluruhan pada LTdL 2023.
Bagaimanapun, pelumba berusia 23 tahun itu terpaksa melupakan LTdL tahun ini selepas dipanggil menyertai skuad negaranya ke Kejohanan Dunia UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) di Zurich, Switzerland dari 22-29 Sept ini.
Dalam pada itu, Vini Fantini pula akan diperkuatkan dengan kehadiran Jakub Mareczko yang juga pemenang satu peringkat pada Jelajah Hainan 2024 untuk membawa cabaran pasukan dari Itali itu selepas melakukan lima pertukaran pelumba.
Mareczko mempunyai rekod pencapaian memenangi lapan peringkat perlumbaan pada Jelajah Hainan sejak 2015 dan pernah memenangi empat peringkat LTdL sejak 2016 hingga 2022.
Pelumba dari Itali berusia 30 tahun itu akan dibantu Alexander Balmer (Switzerland), Valentin Darbellay (Switzerland), Valerio Conti (Itali), Etienne Van Empel (Belanda) dan Giulio Masotto (Itali) dalam senarai terkini yang dikeluarkan pasukan berkenaan.
Sementara itu, VF Group Bardiani yang berpangkalan di Itali juga membuat tiga pertukaran pelumba dengan menyenaraikan David Gabburo, Alex Tolio dan Luca Paletti bagi menggantikan Vicente Rojas Navanjo, Filipo Turconi dan Enrico Zanoncello.
Pasukan yang tidak asing lagi dalam LTdL ini tetap berkeupayaan untuk memberikan saingan sengit bagi memburu kemenangan peringkat.
Sebanyak 22 pasukan akan bertarung pada perlumbaan yang menempuh jarak keseluruhan 1,190 kilometer termasuk laluan yang buat julung kalinya disenaraikan di Miri dan Bintulu di Sarawak.
-- BERNAMA