Tiga pasukan ingkar tunggakan gaji RM4.4 juta
Astro Arena
Februari 9, 2016 20:40 MYT
Februari 9, 2016 20:40 MYT
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan kes tunggakan gaji bernilai RM4.497 juta masih belum dilunaskan biarpun kes itu telah diputuskan Jawatankuasa Status FAM.
Tiga persatuan yang dimaksudkan adalah Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) dengan melibatkan 15 pemain dengan jumlah tunggakan bernilai RM3.7 juta, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) seramai lima pemain (RM477,000) serta seorang pemain Felda United (RM220,000).
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail lantang mempersoalkan ada persatuan berkenaan begitu gah dengan promosi musim baharu dengan penajaan, perancangan menukar warna stadium dan pengumuman jersi baharu pasukan berbanding menyelesaikan isu gaji yang tertunggak.
Tambah mengecewakan lagi apabila Jawatankuasa Status FAM pula lambat menangani isu itu kerana seringkali memerlukan hampir 100 hari untuk bermesyuarat.
"Kami kecewa kerana FAM mengambil masa terlalu lama, 100 hari hanya untuk bertindak balas dalam sesuatu kes. Ini sangat tidak baik untuk semua pihak mendapatkan pembelaan," jelas Ifzam.
Amirizdwan Taj antara lima bekas pemain Kelantan selain Ahmad Fakri Saraani, Mohd. Fitri Omar, Amar Rohidan dan Nazri Ahmad yang masih menanti baki gaji tiga bulan mereka.
Pemain pertahanan itu mahu KAFA bersikap adil kerana pemain-pemain yang masih bersama pasukan Kelantan dibayar gaji selain yuran perpindahan pemain yang baru masuk.
Bagi kes ATM, Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM sudah memutuskan kes itu selesai dengan mengarahkan ATM membayar gaji pemain yang tertunggak sebelum 31 Disember 2015 tetapi sehingga kini belum dilunaskan.
Ifzam menjelaskan sekali lagi PFAM menghantar surat aduan telah dihantar kepada FAM pada 7 Januari kerana ATM terus gagal membuat pembayaran.
Menurut Presiden PFAM, Hairuddin Omar berkata kes ini lebih rumit lagi kerana sikap persatuan yang tidak bekerjasama, tidak seperti kes pasukan Perlis sebelum ini.
"Kami sebagai pemain tertunggu-tunggu apa keadaan sebenar, sekurang-kurangnya mereka memberitahu apa kekangan mereka. Apabila sampai ke tahap enam bulan, kesabaran kami tercabar," kata Hairuddin yang merupakan kapten ATM musim lalu.
Felda United pula masih berdiam diri selepas diarahkan membayar pampasan kepada Azrul Ahmad sebanyak RM220,000 dalam tempoh 14 hari pada 8 Disember lalu kerana menamatkan kontraknya setahun lebih awal.
Biarpun persatuan-persatuan ini seperti tidak menghiraukan arahan daripada FAM, namun PFAM mengambil pendirian mogok bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah ini.
#Azrul Ahmad
#FAM
#Felda United
#PFAM mendedahkan kes tunggakan gaji bernilai RM4.497 juta masih belum dilunaskan