Tiga nama ganti ten Hag di Old Trafford

Sinar Harian
Mei 24, 2024 10:10 MYT
De Zerbi (kanan) dan Pochettino antara nama yang dikaitkan dengan United. - Foto Sinar Harian
SEKURANG-kurangnya tiga nama telah disenaraikan untuk mengambil alih jawatan Erik ten Hag di Manchester United.
United sedang mencari pengurus terkemuka dan sudah mempunyai tiga nama dalam senarai pendek, menurut wartawan sukan terkemuka Itali, Gianluca Di Marzio seperti dilaporkan oleh Sportskeeda.
Khabar angin bertiup kencang mengatakan ten Hag bakal dipecat sejurus perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester City di Wembley pada Sabtu ini.
“Keputusan telah pun dibuat walaupun perlawanan akhir Piala FA masih belum dimainkan,” kata Di Marzio.
Menurut Di Marzio, tiga individu yang berpotensi menggantikan ten Hag adalah Kieran McKenna, Roberto de Zerbi dan Mauricio Pochettino yang baru sahaja dipecat Chelsea.
“Sumber dalaman kelab mendedahkanbahawa United berhasrat memulakan perbincangan tidak lama lagi,” katanya. - Sinar Harian
#Manchester United #Erik ten Hag #pengurus Manchester United #Piala FA
;