Tiga kejohanan medan tentukan program latihan sesuai untuk Zii Jia - Jurulatih
Bernama
Julai 4, 2023 05:30 MYT
Julai 4, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Prestasi di tiga kejohanan terdekat bakal menjadi penanda aras buat jurulatih Wong Tat Meng dalam menyediakan program latihan yang sesuai untuk pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.
Tat Meng yang baru hari kedua melatih pemain profesional itu berkata, beliau mahu menyaksikan sendiri keupayaan Zii Jia ketika beraksi bermula dengan Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Jepun yang berlangsung bulan ini serta Terbuka Australia pada Ogos.
"Saya tidak pernah lihat dia (Zii Jia) dalam pertandingan. Jadi, saya mahu lihat bagaimana dia beraksi sebelum tentukan program latihan," menurut Tat Meng menerusi video dikongsikan kepada media pada Selasa.
Selain menambah baik kemahiran, Tat Meng berkata, fokus utamanya adalah untuk meningkatkan keupayaan psikologi Zii Jia dalam menyerap tekanan atau berdepan kehendak peminat yang menuntut beliau kembali mempamerkan aksi cemerlang.
"Zii Jia ada potensi dan kebolehan untuk bergelar juara. Ia datang bersama pakej kerana jika dia mendapat perhatian cukup, sudah tentu akan disertakan dengan tekanan yang berat.
"Dia kena belajar terima (harapan) peminat dan media. Mereka yakin dengan keupayaannya, jadi dia harus yakin dengan diri sendiri," kata Tat Meng.
Zii Jia dilaporkan kembali mendapat motivasi selepas memilih berehat seketika berikutan prestasi merudumnya termasuk terkeluar seawal pusingan pertama Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia pada Jun lepas.
Juara All England 2021 itu pada masa sama mengalami penurunan ranking daripada tempat ke-13 kepada ke-14 dunia dalam kemas kini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebelum ini, media melaporkan penampilan semula Zii Jia selepas berehat seketika adalah bermula dengan Terbuka Korea Selatan yang bakal berlangsung pada 18 hingga 23 Julai ini, disahkan sendiri kakak kepada pemain kelahiran Kedah itu merangkap pengurusnya, Lee Zii Yii.
Zii Jia akan berdepan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada pusingan pertama. - BERNAMA