Tiga gol Tottenham tumbangkan United di Old Trafford
Sinar Harian
September 30, 2024 08:20 MYT
September 30, 2024 08:20 MYT
GERGASI Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang tampil dengan 10 pemain mencatatkan kekalahan ketiga liga apabila diaibkan kelab London, Tottenham Hotspur, 0-3 dalam perlawanan di Stadium Old Trafford.
Gol yang dihasilkan pemain The Lilywhites, Brennan Johnson (m-3), Dejan Kulusevski (m-47) dan Dominic Solanke (m-77) membolehkan anak buah Ange Postecoglou membawa keluar tiga mata dari laman keramat Manchester United yang kehilangan Bruno Fernandes minit ke-42 selepas dilayangkan kad merah.
Kemenangan itu menyaksikan Spurs bimbingan Postecoglou naik ke tangga kelapan liga dengan 10 mata selepas enam perlawanan.
Sementara itu, United kendalian Erik ten Hag yang kehilangan Fernándes berikutan kekasaran terhadap James Maddison berada di tangga ke-12 dengan tujuh mata, sekali gus menimbulkan persoalan masa depan pengendali dari Belanda itu.
"Satu persembahan yang cemerlang. Kami memulakan permainan dengan baik, menjaringkan gol hebat dan mungkin sepatutnya boleh menambah dua atau tiga lagi.
"Namun tekanan mengatasi mereka diikuti layangan kad merah. Selepas itu saya fikir kami mengawal permainan dengan baik. Tiga mata ini usaha cemerlang daripada semua pemain," kata Postecoglou.
Sementara itu, Johnson berkata: "11 lawan 11, atau 11 lawan 10, kami menguasai permainan sepenuhnya.
"Kami mempunyai pelan permainan yang jelas dan kami melakukan apa yang kami mahu lakukan." - Sinar Harian