Tiga gol situasi 'bola mati' mengejutkan Cheng Hoe

Bernama
November 17, 2022 04:47 MYT
Aksi Cheng Hoe pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam. - Foto Facebook Selangor FC
PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui belum pernah membimbing pasukan memenangi perlawanan dengan kesemua gol dijaringkan menerusi situasi 'bola mati' (gerak terancang).
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata ketiga-tiga gol Selangor berpunca daripada sepakan sudut ketika menewaskan Terengganu FC 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia semalam, iaitu pertama kali berlaku dalam karier kejurulatihannya.
Cheng Hoe turut memuji Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi selepas pemain tengah berusia 21 tahun itu membuktikan kualitinya dalam membuat hantaran menerusi ketiga-tiga sepakan sudut diambil beliau pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.
"Setakat ini, itu lah kali pertama saya merasai suasana (kemenangan) dengan tiga gol datang dari sepakan sudut. Sudah tentu ia bukan nasib...kita ada buat latihan dan saya begitu yakin dengan Mukhairi, dia punya hantaran memang terbaik," katanya pada sidang media selepas perlawanan, di sini.
Pada aksi semalam, Terengganu yang dibimbing Mohd Nafuzi Mohd Zain mengejutkan skuad Gergasi Merah selepas meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma ketua pasukan Tchetche Kipre pada minit ke-19.
Namun, Selangor bangkit menjaringkan tiga gol berpunca daripada sepakan sudut diambil Muhammad Mukhairi yang disudahkan masing-masing Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-37, Herlison Caion De Souza Ferreira (minit ke-43) dan Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-54.
Kekalahan itu menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut skuad Penyu dalam kesemua pertandingan manakala kejayaan diraih Selangor 'memanjangkan' rekod tanpa kalah Cheng Hoe kepada sembilan perlawanan sejak mengambil alih tugas ketua jurulatih pasukan bermula hujung September lepas.
Cheng Hoe berkata pencapaian sembilan perlawanan tanpa kalah tidak memberinya tekanan, malah merupakan satu pembakar semangat menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin depan.
Pada masa sama, beliau menganggap Selangor belum 'selamat' meskipun membawa bekalan selesa ke kubu lawan memandangkan Terengganu mempunyai rekod baik beraksi di laman sendiri.
"Walaupun dengan bekalan jaringan 3-1 ia bukan satu jaminan untuk kita layak ke final tetapi kita kena pergi ke Terengganu dengan keyakinan dan tidak boleh pandang mudah perlawanan itu kerana Terengganu mempunyai jentera serangan yang cukup baik," katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan berentap di pentas separuh akhir Piala Malaysia ialah pada edisi 2011 yang menyaksikan Terengganu menang dengan agregat 4-1.
Kali terakhir Selangor melangkah ke final pada 2016 manakala Terengganu pada edisi 2018. Selangor muncul juara Piala Malaysia buat kali terakhir pada edisi 2015 sementara Terengganu 2001.
-- BERNAMA
#Tan Cheng Hoe #bola mati #sepakan sudut #Piala Malaysia