Tiga 'gadis besi' Perlis azam pamer aksi terbaik di Sukma KL
Bernama
Mac 20, 2022 04:12 MYT
Mac 20, 2022 04:12 MYT
KANGAR: Biarpun tidak diletakkan sandaran pingat, tiga sahabat karib dari kem angkat berat Perlis berazam mempamerkan prestasi terbaik, sekali gus mengharumkan nama negeri itu pada Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada Jun hingga Ogos ini.
Disebabkan minat mendalam terhadap sukan berkenaan mendorong tiga 'gadis besi' Perlis itu, komited menyertai latihan intensif di bawah bimbangan jurulatih Mohd Faiz Musa, yang merupakan bekas atlet kebangsaan, bagi menghadapi temasya sukan tersebut.
Nurul Aisyah Athirah Nadzim, 15, berkata walaupun ini kali pertama mereka mewakili Perlis pada temasya Sukma, tiada istilah mengaku kalah dalam diri beliau dan rakan-rakannya itu.
"Kami akan cuba buat yang terbaik di Sukma nanti," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Nurul Aisyah berkata minatnya dalam sukan angkat berat bermula dua tahun lepas apabila beliau menyaksikan aksi atlet angkat berat di media sosial, selain mahu mengikuti jejak langkah kakaknya Nurul Amira, 21, yang turut dijangka beraksi di Sukma Kuala Lumpur.
Bagi Dhiya Raihan Dzulkarnain, 15, yang baru lima bulan menyertai kem angkat berat Perlis berkata beliau akan berusaha memperagakan aksi terpuji di Sukma bersama rakan-rakannya.
"Bagi saya sukan angkat berat ini amat menyeronokkan dan bagus untuk kesihatan, daripada kita habiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah," katanya.
Iwana Izzah Sabri, 15, pula berkata beliau tidak sabar untuk menghadapi saingan di Sukma Kuala Lumpur, walaupun bakal membuat penampilan pertama di temasya sukan tersebut.
Sementara itu, Mohd Faiz berkata 11 atlet termasuk 'badang' lelaki akan membawa cabaran Perlis dan beliau yakin mereka mampu membawa pulang kilauan pingat pada Sukma Kuala Lumpur.
"Terdapat banyak bakat baharu di Perlis yang berpotensi untuk digilap ke peringkat lebih tinggi, saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan mereka mampu pergi lebih jauh," katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan skuad angkat berat Perlis menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas.
Pada edisi Sukma 2018 di Perak, skuad angkat berat Perlis terpaksa berpuas hati dengan pungutan tiga pingat perak dan dua gangsa.
-- BERNAMA
#gadis besi
#Sukma KL
#Sukan Malaysia
#Kuala Lumpur
#Perlis
#Nurul Aisyah Athirah Nadzim
#Nurul Amira
#Dhiya Raihan Dzulkarnain
#angkat berat