Tiga 'awang import' bantu Selangor FC daki tangga kelima Liga Super

Bernama
April 29, 2022 07:10 MYT
Sepakan penjuru Alexander Agyarkwa Ameyaw (kanan) pada minit ke-75 menoktahkan kemenangan kedua Selangor FC musim ini. - Facebook Selangor FC
KUALA LUMPUR: Jaringan tiga pemain import berjaya mencetuskan inspirasi buat Selangor FC melonjak ke tangga kelima Liga Super selepas menundukkan Sri Pahang FC, 3-1, dalam aksi tunggal di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Pasukan kendalian Michael Feichtenbeiner bermula garang apabila rembatan tonggak serangan Muhammad Syahir Basihah terkena tiang kiri gol lawan pada minit ke-13, sebelum pemain import dari Brazil Herlison Caion de Sousa Ferreira memanfaatkan hantaran silang Quentin Cheng, untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-37.
Sri Pahang berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun sepakan percuma diambil Muhammad Nur Azam Abdul Azih ditumbuk keluar penjaga gawang 'The Red Giants' Khairuazhan Khalid, pada minit ke-42 dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.
Giliran Hyuri Henrique De Oliveira Costa pula menceriakan penyokong tuan rumah, selepas mencetak nama selaku penjaring kedua Selangor, dengan menolak masuk bola hantaran dari tengah padang oleh Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, tujuh minit selepas babak kedua bersambung.
Bagaimanapun, pelawat merapatkan jurang kedudukan apabila Nur Azam Azih tenang melepaskan tendangan leret untuk menewaskan Khairulazhan pada minit ke-62.
Selangor FC kembali melebarkan jaringan menerusi tandukan pertahanan dari Jordan Yazan Al-Arab, berpunca dari sepakan penjuru oleh Alexander Agyarkwa Ameyaw pada minit ke-75, sekali gus menoktahkan kemenangan kedua mereka musim ini selepas lima perlawanan, dengan kutipan lapan mata.
Kekalahan ketiga dialami oleh Sri Pahang di bawah bimbingan pengendali Perancis Christophe Gamel pula menyaksikan mereka kekal di tangga kesembilan dengan empat mata.
-- BERNAMA
#bola sepak #Liga Super #Selangor FC #Sri Pahang FC
;