Tiga atlet raih pingat di Sukan Asia 2022 Hangzhou terima PJK
Abd Razak Mohd Ali
November 3, 2023 08:40 MYT
November 3, 2023 08:40 MYT
IPOH: Tiga atlet negara dari Perak yang memenangi pingat di Sukan Asia 2022 di Hangzhou baru-baru ini, dikurniakan pingat sempena Hari Keputeraan ke-67 Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang disambut hari ini.
Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Shereen Samson Vallabouy dan Muhd Shafiq Puteh dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) selepas memenangi pingat gangsa dalam acara masing-masing.
Muhammad Azeem memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki, Shereen dalam acara 400 meter dan 4x100 meter perempuan dan Muhd Shafiq dalam acara terjun 3 meter papan anjal seirama.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan kepada atlet-atlet berkenaan yang berjaya dalam sukan.
“Anugerah ini dan perkenan tuanku membiayai makan tengah hari untuk 7,000 banduan adalah dua perkara baharu yang berbeza daripada program lazim yang diadakan sebelum ini,” katanya dalam sidang media khas di Laman Seri Ridzuan, di sini, semalam.
Selain tiga atlet berkenaan, juara Kejohanan Muaythai Dunia tiga kali berturut-turut, Mohd Rifdean Masdor yang juga Olahragawan Perak 2022 turut dikurniakan pingat yang sama.
Beberapa pemimpin dan pegawai persatuan sukan di Perak turut menerima anugerah sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin tahun ini.
Antaranya, Presiden Persatuan Hoki Perak Mohd Saiyuti Abd Samat dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.
Lain-lain termasuk Sazeli Sani dari Persatuan Lawn Bowls Perak, Bernard Radin (Persatuan Muay Thai Negeri Perak) dan Noorsazali Ahmad (Persatuan Judo Negeri Perak).