Tiga atlet muda Johor sasar emas di Kejohanan Muay Thai Dunia 2021

Bernama
November 17, 2021 05:15 MYT
Dari kiri, Damia Husna, Tee Jac Yoe dan Nurul Syafiqah bakal memberi cabaran terhadap lebih 60 peserta kejohanan Muay Thai Dunia 2021 pada Disember ini, ketika ditemui Bernama di MMA Academy Taman Mount Austin baru-baru ini. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Meskipun bakal berdepan lebih 60 peserta dari seluruh dunia di Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 di Bangkok, Thailand bulan depan, tiga anak muda dari bandar raya ini tetap optimis untuk membawa pulang pingat emas buat negara.
Ketiga-tiga mereka - Nurul Syafiqah Amirah Rosli,18, Damia Husna Azian (16) dan Tee Jac Yoe (25) kini sedang menjalani latihan intensif bersama jurulatih Hayatun Najihin yang juga juara seni bela diri campuran (MMA) dan ONE Championship 2018, serta jaguh sukan Muay Thai dan MMA negara Melvin Yeoh.
Nurul Syafiqah yang beraksi dalam U23 Kategori Senior Wanita mengakui berdebar kerana akan berdepan handalan dunia, namun ketegasan, tunjuk ajar dan nasihat diberikan jurulatih dijadikan azimat bagi merealisasikan hasrat membawa pulang pingat emas pertama pada kejohanan yang julung kali disertainya.
"Insya-Allah saya akan cuba sehabis baik (dapatkan emas) pada kejohanan nanti. Buat masa ini, saya giat menjalani latihan dan membuat persediaan," katanya ketika ditemui Bernama di MMA Academy di sini semalam.
Nurul Syafiqah berkata abangnya yang juga jurulatih Muay Thai negeri Johor, Md Shahfid banyak memberikan tunjuk ajar dan menjaganya sepanjang menyertai sukan itu.
Sementara itu, Damia Husna yang bertanding bagi kategori remaja 16-17 tahun berkata sasaran pingat emas tidak mustahil untuk dicapai dengan fokus dan latihan konsisten.
Menurutnya, kecederaan pada tangan dan kaki adalah antara risiko dihadapi ketika menyertai kejohanan Muay Thai, namun ia tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik.
Bagi Jac Yoe, menggunakan teknik dan kemahiran yang betul ketika berdepan lawan selain mengekalkan stamina boleh menjadi resipi kejayaan dalam sukan itu.
"Saya bagi sepenuh perhatian dalam latihan setiap pagi dan malam, jadi pengorbanan dari segi masa dan komitmen membuatkan saya begitu yakin untuk dapatkan emas buat negara," katanya yang bertanding bagi kategori lelaki Elite.
Ketiga-tiga mereka layak ke kejohanan itu secara merit dan dijangka berangkat ke Bangkok pada 30 Nov ini bagi menghadapi kejohanan bermula 3 hingga 12 Dis ini.
-- BERNAMA
#Kejohanan Muay Thai Dunia #Bangkok #atlet muda Johor #Atlet Muay Thai
;