Tidak takut nyamuk, lebih bimbang kebersihan venue pelayaran Olimpik Rio

Astro Arena
Jun 3, 2016 22:41 MYT
Khairulnizam mendakwa Guanabara Bay dipenuhi sampah sarap hingga menyebabkan kulit berasa gatal. Foto ini pula adalah sewaktu Khairulnizam di venue pelayaran di Langkawi. - Gambar fail
PELAYAR negara, Khairulnizam Mohd Afendy, sedia menjalani ujian di Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan dia bebas jangkitan virus Zika selepas menghabiskan tempoh hampir dua minggu berlatih di Rio de Janeiro, Brazil.
Khairulnizam adalah atlet terbaru negara yang pulang dari program latihan menyesuaikan diri dengan venue pertandingan Sukan Olimpik Rio 2016.
Dia bagaimanapun tidak merasakan isu jangkitan virus Zika serius seperti yang dilaporkan media antarabangsa.
Malah, sepanjang berada di Rio, atlet kelahiran Kedah ini mengakui tidak berdepan masalah kesihatan walaupun terdedah dengan gigitan nyamuk setiap masa.
"Selama 10 hari di sana, tiada apa-apa. Memang ada nyamuk tapi kami berjaga-jaga bawa penyembur nyamuk dan sebagainya.
"Saya dapat maklumat daripada orang ramai, hanya sesetengah tempat di Rio (khususnya) di kawasan pedalaman sahaja yang teruk," katanya.
Begitupun, Khairulnizam yang akan beraksi dalam acara laser standard, menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keadaan air kotor di venue pertandingan.
Guanabara Bay dipenuhi sampah sarap hingga menyebabkan kulit berasa gatal. Ia antara cabaran yang menanti setiap pelayar Olimpik.
"Saya mohon untuk kem bulan depan, pihak MSN ikut pantau keadaan air kerana saya takut sakit dengan air tercemar.
"Mungkin pasukan perubatan dapat membantu saya di sana sebab saya takut jika saya jatuh sakit semasa temasya, ia sudah terlewat," ujarnya.
#gigitan nyamuk #Khairulnizam Mohd Afendy #Olimpik Rio #pelayar negara #pencemaran #virus Zika
;