Tidak perlu persoal penyenaraian Zii Jia dalam projek RTG - Penyelaras projek

Bernama
April 12, 2023 10:25 MYT
Stuart berkata penglibatan Zii Jia (gambar) dan pemain atlet profesional badminton negara yang lain telah mendapat persetujuan BAM. - Gambar fail
PETALING JAYA: Penyenaraian pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dalam projek Road To Gold (RTG) tidak perlu dipersoalkan, kata penyelaras projek Stuart Ramalingam.
Stuart berkata ini kerana Zii Jia yang menghuni ranking keempat dunia adalah perseorangan terbaik negara ketika ini sekali gus tidak wajar diketepikan sekalipun mempunyai sejarah lampau tersendiri.
Menurutnya, penglibatan Zii Jia juga menunjukkan keterbukaan projek RTG dalam memastikan sokongan sewajarnya diberikan kepada mana-mana atlet yang berpotensi membutirkan pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik.
"Zii Jia pada masa ini tempat keempat di dunia, secara dasar kita tidak boleh terlepas pandang terhadap Zii Jia...saya rasa kemasukannya tidak sepatutnya dipersoal kerana dia adalah pemain perseorangan nombor satu di Malaysia.
"Kita tahu dia mungkin ada sejarah yang masih diingati ramai, tetapi perkara itu sedang diselesaikan untuk memastikan peluang terbuka untuk Zii Jia di Sukan Olimpik," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di sebuah hotel di sini, semalam.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL berkata demikian ketika ditanya sama ada Zii Jia masih dianggap calon terbaik untuk membawa pulang emas pertama negara di Sukan Olimpik.
Sebelum ini, terdapat beberapa tanggapan negatif antaranya Zii Jia tidak wajar berada dalam projek RTG memandangkan beliau adalah atlet profesional dan mempunyai penaja.
Mengulas lanjut, Stuart berkata penglibatan Zii Jia dan pemain atlet profesional badminton negara yang lain telah mendapat persetujuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM) sendiri yang mengemukakan nama-nama atlet profesional ini untuk memastikan peluang diberi juga kepada mereka," katanya.
Selain Zii Jia, tiga beregu profesional iaitu dua wakil dari kem beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi antara keseluruhan 15 atlet yang tersenarai dalam projek RTG.
Sabtu lepas, Zii Jia yang juga juara All England 2021 menyatakan hasratnya untuk memenangi emas sulung negara di Sukan Olimpik ketika pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Stuart di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #stuart ramalingam #Road to Gold
;