JOHOR Darul Takzim (JDT) akan membawa keputusan 3-1 lawan Qadsia SC ke Stadium Larkin buat perlawanan separuh akhir kedua namun pengendali Mario Gomez memberi pandangan bahawa skuadnya mampu melakar kejutan yang besar dalam aksi Piala AFC.

Skuad Harimau Selatan mendapat suntikan semangat apabila penyerang Amri Yahyah meledakkan gol sulung buat JDT ketika beraksi di Kuwait dan Gomez mengharapkan pemainnya menemui sentuhan penyudah di hadapan penyokong sendiri.

Menurut laman media sosial, Gomez menegaskan bahawa kehadiran dan sokongan daripada peminat setia akan memainkan peranan besar dalam meningkatkan semangat pemain-pemain sepanjang 90 minit perlawanan apabila mereka mencari sekurang-kurangnya dua gol menentang Al-Qadsia, selaku juara bertahan Piala AFC.

Beliau juga percaya dalam kaliber skuadnya dan mengatakan biarpun ia merupakan tugas yang amat sukar, mereka mampu mengurangkan defisit itu dan membuat kejutan.
Gomez akui keputusan 2-1 ketika aksi pertama lebih diinginkan tetapi berpuas hati pasukannya mampu elak kekalahan 3-0 tanpa jaringan balas.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu pada 20 Oktober ini.