'Tidak kira siapa kesebelasan utama, buat yang terbaik', pesan Reezal buat Harimau Malaya

Faris Danial Razi
Jun 3, 2021 22:16 MYT
Reezal turut mendoakan agar semua pemain dapat kekal cergas untuk perlawanan malam nanti selepas mengharungi persiapan intensif sejak dua minggu lalu.
KUALA LUMPUR: DEBARAN semakin terasa, perjuangan Harimau Malaya bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 diteruskan pada malam ini.
Jam 12.45 tengah malam nanti, skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal berentap dengan pasukan ke-73 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan pemain negara diharap mempamerkan aksi terbaik tidak kira siapapun dipilih ketua jurulatih itu untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama.
“Siapapun yang dibariskan malam ini, just do your very best (buatlah yang terbaik). Apa pun keputusan jurulatih Tan Cheng Hoe, anda semua sudahpun menjadi juara di hati setiap rakyat Malaysia.
"Kepada Aidil Zafuan sebagai kapten, lead the team, penjaga gol Farizal Marlias pertahankan baik-baik, begitu juga dengan semua pemain sandaran kita iaitu Safawi, Matthiew Davies, Sumareh, De Paula dan semualah yang saya tidak mampu untuk sebut satu persatu, buat yang terbaik.
“Safawi dan Sumareh, hangpa jangan buat drama lebih-lebih dekat padang, pening kepala, sakit jantung jurulatih Tan Cheng Hoe tu,” pesan Reezal secara berseloroh kepada mereka yang sebelum ini telah membuat kejutan sempena hari jadi Cheng Hoe tempoh hari.
Beliau menyampaikan pesanan itu dalam satu muat naik di laman Facebooknya malam ini.
Sementara tu, Reezal turut mendoakan agar semua pemain dapat kekal cergas untuk perlawanan malam nanti selepas mengharungi persiapan intensif sejak dua minggu lalu.
“Saya doakan anda semua kekal cergas dan mental cerdas untuk perlawanan malam ini, saya pasti persiapan rapi sudah dibuat.
“Saya lihat perkembangan setiap hari dimuat naik di laman Instagram Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)…paling banyak saya tengok Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin,” ujarnya lagi.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang ingin memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya, jangan terlepas untuk menyaksikan perlawanan itu, yang akan disiarkan secara langsung di TV1 dan Astro Arena jam 12.45 tengah malam nanti.
Selepas perlawanan bersama UAE, Malaysia akan meneruskan saingan dalam Kumpulan G kempen kelayakan itu berdepan Vietnam dan Thailand, masing-masing pada 11 dan 15 Jun di Dubai.
Untuk rekod, Malaysia kini menduduki tempat kedua dengan perbezaan dua mata di belakang pendahulu Vietnam yang mengumpul 11 mata, sementara Thailand ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
#Reezal Merican #Reezal #Piala Dunia #rakyat Malaysia #Indonesia #Harimau Malaysia #Belia #sukan #UAE #Hamidin Mohd Amin #FAM #ketua jurulatih #Tan Cheng Hoe
;