Tiba-tiba hilang penglihatan, judo para ubati rindu Fatah terhadap sukan tempur

Bernama
Mei 10, 2023 05:30 MYT
Noor Syahieda beramah mesra dengan ahli kontinjen, dari kiri, Mohd Khairul Azmi, David Goh Yoke Meng dan Muhammad Fatah di pusat latihan atlet para judo di Kompleks MAB Brickfields, Kuala Lumpur, 9 Mei 2023. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Muhammad Fatah Abu Bakar menjalani kehidupannya seperti biasa sebagai seorang pemuda yang gemarkan sukan tempur, namun beliau tidak menyangka kehidupannya berubah sekelip mata apabila hilang penglihatan ketika berusia 21 tahun.
Pada awalnya, Muhammad Fatah yang kini berusia 38 tahun, hanya hilang penglihatan pada mata kanan dan mampu meneruskan kehidupannya seperti biasa, tetapi selepas setahun, penglihatan mata kirinya pula terjejas.
"Doktor berkata ia berlaku kerana genetik, tetapi tiada ahli keluarga saya yang hadapi masalah penglihatan ini, mungkin kerana mutasi. Saya hilang hampir sepenuh penglihatan, nampak kabur seperti kabus kerana disyaki ada masalah dalam saraf mata.
"Dulu saya aktif dalam sukan karate, taekwondo, tinju dan ragbi, serta boleh membaca dan memandu, tetapi kini tidak boleh. Kalau ada orang di depan pun, saya hanya nampak bayang tak nampak rupa," katanya kepada Bernama.
Terpaksa mengharungi kehidupan dengan kekangan yang besar itu tidak melunturkan cinta dan minat Muhammad Fatah terhadap sukan tempur dan seni mempertahankan diri.
Selepas mencari kaedah untuk terus mengamalkan sukan mempertahankan diri, kira-kira pada 2007 beliau mendapati judo para memberikan peluang kepada mereka yang menghadapi masalah penglihatan untuk bertarung di pelbagai peringkat.
Tidak lama selepas menceburi sukan baharu itu, beliau berjaya merangkul pingat gangsa kategori 66kg lelaki semasa penampilan pertamanya pada Sukan Para ASEAN (APG) 2008 di Thailand.
Bagi APG kali ini di Phnom Penh, Kemboja bermula 3-9 Jun, Muhammad Fatah berharap untuk mencapai keputusan yang lebih baik berbanding sebelum ini dengan berbekalkan pengalaman beraksi pada Sukan Para Asia dan Sukan Dunia Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa (IBSA) 2015 di Seoul, Korea Selatan.
"Sebelum ini saya beraksi dalam kategori 66kg, tetapi kali ini penganjur menukar kategori, mungkin terpaksa beraksi dalam kategori bawah 70kg. Apabila berat bertambah, kelajuan akan berkurang, jadi saya sedang berlatih di gim untuk meningkatkan jisim otot supaya dapat berada pada tahap terbaik nanti," katanya.
Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG Kemboja Noor Syahieda Mat Shah, yang melawat latihan dan persiapan kem para judo malam tadi, yakin mereka mampu menyumbang pingat buat negara di Kemboja, bulan depan.
Beliau berkata sasaran sebenar kontinjen negara akan ditetapkan selepas bengkel penetapan sasaran bersama Majlis Sukan Negara dan pihak berkepentingan yang terlibat minggu depan.
"Kami akan tetapkan sasaran yang realistik dan relevan, kami tidak mahu janjikan bulan dan bintang, namun kami harap dapat menambah baik daripada pencapaian edisi lepas (36 emas, 20 perak dan 14 gangsa). Buat masa ini, kita boleh lihat semua atlet bersemangat tinggi untuk membawa pulang kejayaan," katanya.
Selain Muhammad Fatah, Malaysia turut akan diwakili oleh Mohd Khairul Azmi Abd Rahaman bagi kategori bawah 60kg dan Lee Chee Hock dalam kategori bawah 90kg, dengan kedua-dua atlet berkenaan akan membuat penampilan pertama di APG.
-- BERNAMA
#sukan tempur #judo #Muhammad Fatah Abu Bakar #Sukan Para ASEAN
;