Tiada toleransi dengan atlet dikaitkan dadah - Khairy

Bernama
Jun 4, 2013 07:30 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara tidak akan bertoleransi dengan atlet tempatan yang dikaitkan dengan penggunaan dadah terlarang, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.
"Jika kita dapati mana-mana atlet gagal hadir untuk ujian dadah dan mereka menerima hukuman, kita tidak akan bersimpati dengan mereka kerana ini perkara sangat serius.
"Kementerian dan MSN sentiasa berpegang kepada dasar toleransi sifar mengenai isu doping ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Sukan Negara di sini pada Selasa.
Beliau mengulas hukuman Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland yang dikenakan terhadap seorang jurulatih dan enam atlet Malaysia susulan kes penggunaan dadah terlarang.
"Pengalaman seperti ini harus menjadi pengajaran kerana penggunaan dadah (perlu dilihat secara) serius," kata Khairy.
Sebelum ini, Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) mengheret Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke CAS selepas badan induk olahraga negara itu hanya memberi amaran keras kepada enam atlet berkenaan.
Pihak CAS bagaimanapun memutuskan penggantungan khidmat selama 10 tahun terhadap bekas jurulatih olahraga kebangsaan, Harun Rasheed, bermula 12 Sept 2011.
Harun didapati bersalah mengarahkan enam pelari pecut negara untuk mengelak daripada memberi sampel air kencing mereka kepada ISN pada Mei 2011.
Lima atlet iaitu Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Mohamad Noor Imran Hadi, Siti Zubaidah Adabi dan Yee Yi Ling masing-masing dikenakan hukuman penggantungan dua tahun berkuat kuasa 24 Mei lepas.
Seorang lagi atlet, Siti Fatimah Mohamad yang menjadi saksi dan menunjukkan bahan bukti mengenai kes itu digantung 18 bulan.
#Kementerian Belia dan Sukan #KHAIRY
;