Tiada tambahan tonggak baharu - Ten Hag

Sinar Harian
Ogos 31, 2022 07:30 MYT
Aksi Erik ten Hag ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Brighton di Stadium Old Trafford, Manchester, England, 7 Ogos, 2022. - Gambar fail AP
MANCHESTER United tidak akan menambah tonggak baharu menjelang tarikh tutup akhir jendela perpindahan pemain selepas melengkapkan perbincangan dengan Antony dan Martin Dubravka.
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag berkata, “Sejujurnya semuanya sudah cukup bagi jendela perpindahan ini. Anda perlu sentiasa berjaga-jaga di kelab utama.
“Namun kami akan bermain dari September sehingga paling minimum Januari depan bersama barisan pemain skuad ini.
“Bagi bahagian serangan, kami perlu menguatkan pasukan. Pemain bahagian serangan cepat letih dan perlu berlari lebih dengan intensiti,” kata Ten Hag yang berharap pasukan itu mengekalkan mentaliti kemenangan selepas menang dua aksi terakhir.
Manchester United sebelum ini mencapai persetujuan dengan kelab Eredivisie Belanda, Ajax Amsterdam untuk khidmat pemain Brazil, Antony.
The Red Devils juga turut berharap dapat merekrut penjaga gol Newcastle United, Dubravka secara pinjaman, dengan pilihan menjadikannya perjanjian kekal.
Pada masa sama Ten Hag percaya Cristiano Ronaldo akan kekal bersama gergasi liga Inggeris itu di sebalik spekulasi masa depan bintang Portugal itu selepas media Britain melaporkan pemain berusia 37 tahun tersebut mahu meninggalkan Manchester United untuk bermain di Liga Juara-Juara.
"Ya, memang jelas kelab ini amat memerlukan pemain berkualiti, malah kami perlu lebih ramai pemain untuk bermain di semua perlawanan," kata pengendali berusia 52 tahun dari Haaksbergen, Belanda berkenan mengenai masa depan Ronaldo. - Sinar Harian
#Manchester United #Erik ten Hag #jendela perpindahan #Cristiano Ronaldo
;