Tiada tambahan jumlah acara untuk Sukma 2024

Bernama
Mac 29, 2023 22:27 MYT
Abdul Karim turut mengumumkan Sarawak telah memenangi bidaan menjadi tuan rumah Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia 2023 yang akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos depan. - Gambar fail/ Bernama
KUCHING: Jumlah acara sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak tidak akan ditambah biarpun ada pihak meminta supaya beberapa acara lagi dimasukkan dalam temasya dwitahunan itu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk menyenaraikan 32 acara dalam temasya itu dan telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta semua menteri dan exco sukan negeri dalam satu mesyuarat baru-baru ini.
"Kami semua sudah bermuafakat, saya tidak fikir kami akan membuka kepada lebih banyak (acara) lagi. Bagi Sukma 2024 ini, (bukan sahaja) kabaddi malah kanu juga tidak ada dalam senarai acara dipertandingkan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau mengulas permintaan peminat sukan di media sosial yang mahu lebih banyak acara sukan pada temasya itu termasuk kabaddi.
Sementara itu, Abdul Karim turut mengumumkan Sarawak telah memenangi bidaan menjadi tuan rumah Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia 2023 yang akan diadakan di sini pada 19 dan 20 Ogos depan.
Katanya persidangan itu yang dijangka dihadiri 500 peserta daripada lebih 25 negara, akan menjadi titik pertemuan bagi pihak berkepentingan sukan untuk meneroka kerjasama penyelidikan, penempatan amali dan peluang pengurusan data sukan.
-- BERNAMA
#Majlis Sukan Negara #usahawan #media sosial #Sukma 2024
;