"Tiada sesiapa sudi bantu saya" - Sazali Samad
Astro Arena
Januari 8, 2016 20:11 MYT
Januari 8, 2016 20:11 MYT
JAGUH bina badan negara, Sazali Samad cukup terkilan dan rasa tersisih daripada sokongan pelbagai pihak selepas dia terlibat dalam isu doping.
Sazali digantung empat tahun oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MBBF) selepas didapati positif steroid dalam ujian doping yang dilakukan adamas, September lalu.
Akui fikirannya kusut ketika berdepan isu ini di peringkat awal, Mr Asia sembilan kali ini, kecewa apabila tidak banyak pihak yang sudi membantunya.
"Bila jatuh hukum di situ dan dah keluar apa semua, saya berbincang dengan isteri.
Pada awalnya saya rasa saya tidak akan keseorangan tetapi tiada sesiapa yang sudi bantu saya," katanya.
Sazali turut memaklumkan dia bukan enggan menguji sampel B akan tetapi tiada sesiapa yang tampil untuk beri nasihat mengenai sampel B.
Beliau ditemui selepas menyerahkan surat rayuan rasmi kepada Setiausaha Agung MBBF, Leftenan Komander Amaruzaman Kadir di Bandar Tasik Selatan pada Jumaat.
Hadir sama peguam Sazali, Mohd Norasmawi Norani, isteri serta beberapa rakan yang tampil beri sokongan.
Menerusi surat rayuan itu, Sazali tidak menolak kemungkinan pemakanan tambahan yang dibelinya di Amerika Syarikat pada Jun 2015 antara pendorong wujud bahan terlarang dalam badannya.
"Apa yang saya cuba dan sebagainya cuma bahan kandungan dalam ubat-ubatan kita tak tahu, kerana semua ahli bina badan yang profesional menggunakan makanan tambahan jadi saya pun menggunakannya," jelasnya.
Manakala peguam Sazali yakin tempoh hukuman Sazali mampu dikurangkan berdasarkan kepada peraturan-peraturan WADA.
"Peraturan 10.5 WADA CODE telah menyatakan pengurangan terhadap tempoh hukuman berdasarkan kecuaian kerana empat tahun ini adalah mandatori.
Kalau saya diberi peluang untuk memberi hujah rayuan saya rasa peluang besar, insyallah dua tahun. Dua tahun, satu tahun itu insyallah, tak ada masalah besar," katanya.