Tiada sebarang cela dalam jentera tengah Liverpool, kata Klopp
Astro Arena
Disember 1, 2018 14:46 MYT
Disember 1, 2018 14:46 MYT
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, berkeyakinan pasukannya itu tidak akan terjejas dengan penggantungan Jordan Henderson dalam pertembungan Merseyside menentang Everton pada Ahad.
Kapten Liverpool, Henderson, akan terlepas aksi di Anfield itu selepas dibuang padang ketika kemenangan ke atas Watford, Ahad lalu.
Dengan kehilangan itu, Klopp boleh berkira-kira untuk menurunkan Fabinho, Naby Keita atau Xherdan Shaqiri, yang masing-masing belum pernah beraksi dalam perlawanan "derby" tersebut.
Pengendali kelahiran Jerman itu kekal berkeyakinan bahawa mana-mana pemain tersebut yang bakal diturunkan dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Henderson.
"Saya tidak mahu berbicara tentang pemain yang tidak dapat diturunkan.
"Kami menyedari perkara itu sejak Hendo dibuang padang dalam pertemuan dengan Watford.
"Kami tidak akan merasai kehilangannya kerana dia tiada dalam perancangan kali ini.
"Selagi pemain-pemain lain kekal cergas, kami sentiasa ada penyelesaian," katanya.
Ditanya sekali lagi adakah dia kecewa dengan ketiadaan Henderson dalam sidang media yang sama, Klopp memberikan reaksi: "Dia tidak akan dapat beraksi, mengapa perlu saya kecewa? Tanyalah kepada Persatuan Bolasepak England (FA).
"Pemain lain sudah bersedia untuk diturunkan - Saya tidak faham dengan kebanyakan soalan hari ini.
"Mengapa saya perlu berfikir tentang itu? Adakah pemain saya bersedia? Kita akan lihat. Kami akan membuktikannya nanti.
"Jika saya katakan saya mempunyai masalah dan tidak mempunyai masa untuk melakukan persiapan, kebodohan apakah itu?
"Kami sudah bersedia dan kami akan membuktikannya nanti," katanya lagi.
Sepak mula Liverpool menentang Everton adalah pada Isnin, 3 Disember, 12:15 tengah malam.