Tiada rombakan berdepan Timor Leste

Astro Arena
Oktober 11, 2015 00:12 MYT
Datuk Ong Kim Swee berkata kemungkinan hanya dua atau tiga pemain sahaja ditukar dalam kesebelasan utama yang disenaraikan untuk perlawanan itu.
Tiada perubahan ketara dalam skuad Harimau Malaya apabila menentang Timor Leste pada aksi kelima Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Perbandaran Dili, 13 Okt ini.
Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata kemungkinan hanya dua atau tiga pemain sahaja ditukar dalam kesebelasan utama yang disenaraikan untuk perlawanan itu.
"Semua ini bergantung kepada keadaan kerana kita mempunyai baki tiga hari lagi dan saya akan memilih pemain yang cukup cergas untuk diturunkan menentang Timor Leste nanti," katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Kim Swee berkata beliau akan menilai persembahan setiap pemain pada sesi latihan skuad sebelum menamakan kesebelasan utama berdepan Timor Leste.
Menurutnya beliau kini lebih memberi tumpuan pada pemulihan pemain pada sesi latihan pertama skuad berkenaan Pusat Sukan Xanana, Dili hari ini kerana mahu pemain berada dalam keadaan terbaik sebelum berdepan tuan rumah.
"Saya percaya esok dan selepas ini, mereka akan bertambah baik dan cukup bersedia sebelum beraksi pada 13 Okt ini," tegas Kim Swee.
Malaysia kini menduduki tangga tercorot daripada lima pasukan dalam Kumpulan A dengan satu mata menerusi satu keputusan seri dan tiga kekalahan.
Skuad kebangsaan akan beraksi tanpa penyokong pada aksi keenam menentang Emiriah Arab Bersatu di Stadium Shah Alam, 17 Nov ini susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Malaysia ketika bertemu Arab Saudi di gelanggang sama, 8 Sept lepas.
#harimau Malaya #Ong Kim Swee #Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 #Timor Leste