Tiada lagi kaki emas Hashim Mustapa

Vivi Sumanti
Oktober 23, 2022 10:00 MYT
Kaki Hashim dipotong pada 13 Oktober lepas selepas dijangkiti kuman selepas menderita penyakit kencing manis. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Kaki kiri bekas pemain bola sepak Kelantan era 90an Hashim Mustapa, 56 tahun terpaksa dipotong dari paras bawah lutut.
Kaki Hashim dipotong pada 13 Oktober lepas selepas dijangkiti kuman selepas menderita penyakit kencing manis.
Sewaktu ditemui, Hashim memaklumkan rutin kehidupan seperti biasa dengan pergerakan yang terhad.
"Saya banyak berehat dan sukar untuk bergerak, apatah lagi dalam keadaan seumpama ini," katanya selepas menerima kunjungan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan petang semalam.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana ramai yang bertanya khabar termasuk Datuk Seri Takiyuddin yang banyak membantu termasuk menyumbangkan wang perbelanjaam serta kerusi roda," katanya.
Hashim Mustapa merupakan bekas pemain Kelantan yang pernah tiga kali menerima anugerah Kasut Emas pada tahun 1990, 1993 dan 1994.
Antara pencapaian lain, Hashim pernah mencipta hatrik dengan menjaringkan lebih 30 gol dan melayakkan beliau diiktiraf sebagai penjaring terbanyak pada era 90-an, selain pelbagai anugerah yang diterima sepanjang bergelar pemain bola sepak.
Beliau juga pernah menjadi penolong jurulatih pasukan The Red Warriors, jurulatih skuad Presiden dan ketua jurulatih Tok Janggut Warriors FC.
Hashim menderita penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu selain turut mengalami masalah jantung dan darah tinggi.
Terdahulu beliau menerima kunjungan Takiyuddin yang menyumbangkan wang dan kerusi roda.
Takiyuddin memaklumkan, Hashim merupakan sahabatnya dan menjadi ikon bola sepak Kelantan.
"Hashim seorang pemain yang tiada galang ganti, mencipta nama dan membawa nama Kelantan di persada bola sepak," katanya.
Beliau turut berhasrat menubuhkan sebuah yayasan kebajikan sukan di Kelantan bagi membela kebajikan bekas atlet Kelantan.
"Kita tengok ramai bekas atlet yang mengalami masalah kesihatan, dan ramai tidak dapat pembelaan.
"Kalau di barat, atlet dapat pengiktirafan dan nasib mereka terbela.
"Melalui yayasan yang bakal ditubuhkan kita akan memperjuangkan nasib bekas atlet di Kelantan," jelasnya.
#Hashim Mustapa #bola sepak #penyakit kencing manis #potong
;