Tiada kompromi gagal ujian doping - MSN
Sinar Harian
Disember 31, 2023 13:11 MYT
Disember 31, 2023 13:11 MYT
MAJLIS Sukan Negara (MSN) sekali lagi mengulangi pendirian tegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana atlet yang didapati positif ujian doping.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya memandang serius isu penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet yang tampak masih tiada penghujungnya.
“MSN tidak pernah menggalakkan penggunaan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi atlet. MSN tegas dalam isu doping ini.
“Mana-mana atlet yang didapati positif dan dikenakan tindakan penggantungan, secara automatik disingkirkan daripada program latihan kendalian MSN.
“Ini bermakna atlet yang digantung automatik hilang semua keistimewaan yang diterima termasuklah elaun latihan dan kemudahan penginapan.
“Malah, mereka juga akan kehilangan sistem sokongan lain seperti perubatan dan sains sukan,” kata Abdul Rashid kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengulangi tekadnya memerangi kes doping yang selama ini ‘membelit’ barisan atlet angkat berat negara.
Malah, Ayub berazam untuk terus ‘membersihkan’ kem angkat berat daripada isu doping selepas tiada sebarang kes direkodkan tahun ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, MSN akan sentiasa memastikan persekitaran latihan atlet negara tidak diganggu dengan sebarang elemen negatif.
“Ia termasuklah memastikan semua jurulatih memantau dan melaporkan sebarang perlakuan yang tidak dibenarkan. Jika jurulatih didapati terlibat sama, tindakan tegas dan segera juga dikenakan terhadap mereka.
“Pada masa sama, saya juga ingin menasihati dan mengingatkan semua atlet untuk tidak menggunakan sebarang bahan terlarang.
“Ini kerana impaknya ia akan memakan diri mereka, sama ada dari segi kesihatan, kerjaya sebagai atlet mahupun masa depan mereka di kemudian hari,” jelasnya.
Beliau berkata, MSN sentiasa menambah baik aspek pemantauan demi mengelak insiden penggunaan bahan terlarang daripada menular secara meluas.
“Memang sebelum ini pernah ada beberapa kes atlet di bawah program latihan kendalian MSN didapati positif ujian doping. Sebab itu, MSN sentiasa meningkatkan pemantauan.
“Untuk menempa kejayaan, seseorang atlet itu harus berusaha dengan jujur, selain mempunyai kegigihan dan semangat jitu tanpa tanpa perlu mencari bantuan lain terutama menggunakan bahan terlarang,” ujarnya. -Sinar Harian