Tiada kompromi atlet, jurulatih terlibat jenayah

Abd Razak Mohd Ali
April 25, 2022 07:00 MYT
Ahmad Faizal berkata, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada warga sukan dan golongan belia. - Foto BERNAMA
TAMBUN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan warga sukan yang terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada warga sukan dan golongan belia.
"Saya berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya.
"Bagi pihak KBS dan diri saya sendiri, kita tidak berkompromi langsung dengan apa-apa tindakan menyalahi undang-undang, malah kita kecam dan kita nak semua rakyat terutama golongan belia, golongan atlet dan mereka yang ada kedudukan yang dekat ataupun yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk tidak melakukan apa sahaja perkara yang menyalahi undang-undang negara," katanya.
Beliau ditemui semasa majlis berbuka puasa bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta selepas melawat seorang anggota yang menjalani pembedahan di Tambun pada Isnin malam.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, polis menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang yang disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran syabu, dalam serbuan di Selangor dan Johor pada 22 dan 23 April lepas.
Katanya, polis turut merampas syabu seberat 287 kilogram yang dianggar bernilai kira-kira RM10.3 juta dalam serbuan itu.
Ahmad Faizal berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai jurulatih berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yakin persatuan sukan berkenaan akan mengambil tindakan terhadap pemegang jawatan itu sekiranya didapati bersalah apabila didakwa di mahkamah.
Katanya, antara tindakan yang boleh diambil ialah menggantung atau memecat mereka daripada terus memegang jawatan di dalam tugasan.
#Faizal Azumu #KBS #jurulatih terlibat jenayah #atlet
;