Tiada kilauan emas kontinjen Malaysia pada hari ke-11

Bernama
Ogos 29, 2018 06:42 MYT
Mohd Fauzi (kanan) menentang Tran Dinh Nam dari Vietnam dalam acara Pencak Silat Lelaki Kelas F 70kg-75kg Akhir pada Sukan Asia 2018 di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia, 29 Ogos, 2018. --fotoBERNAMA
Kontinjen Malaysia mempamerkan aksi sederhana pada hari ke-11 Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selepas gagal menambah pingat emas, sebaliknya hanya meraih tiga perak dan satu gangsa.
Skuad silat menyumbang dua perak, masing-masing menerusi Mohd Fauzi Khalid dalam kelas Putera F (70-75kg) dan Mohd Khaizul Yaacob dalam kelas Putera J (90-95kg) pada aksi di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah.
Pasukan silat turut menyumbang gangsa tunggal menerusi gandingan Nor Hamizah Abu Hassan dan Nur Syazreen Abdul Malik dalam acara Ganda Puteri.
Pingat perak ketiga kontinjen negara diraih dalam acara 3m papan anjal seirama wanita menerusi gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yeen yang mengutip 298.23 mata.
Tambahan empat pingat pada Rabu, menyaksikan kontinjen negara sudah meraih empat pingat emas, 11 perak dan sembilan gangsa sejak hari pertama pertandingan pada 19 Ogos lepas.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih empat emas menerusi acara boling trio wanita dan Masters lelaki; skuasy individu wanita dan sepak takraw (regu lelaki); lapan perak dalam acara ekuestrian (dressage individu), boling trio lelaki dan berpasukan wanita; sepak takraw (regu berpasukan) dan skuasy individu wanita.
Tiga lagi pingat perak hadir dalam dua acara silat, kelas Putera E (65-70kg) dan kelas Putera B (50-55kg) serta berbasikal trek (pecut berpasukan lelaki).
Malaysia turut meraih lapan gangsa yang disumbangkan atlet taekwondo, Yap Khim Wen dalam acara Poomsae individu wanita; Mohd Nafiizwan Adnan (skuasy perseorangan lelaki) dan S. Prem Kumar (karate-kumite bawah 60kg lelaki).
Lima lagi pingat gangsa Malaysia diperoleh dalam tiga acara silat, menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg); Muhammad Robial Sabri dalam kelas Putera I (85-90kg) serta gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Muhamad Afifi Nordin dalam acara Ganda Putera; serta dalam acara memanah (compound berpasukan lelaki) dan terjun (10m platform seirama wanita).
Dalam pada itu, juara bertahan China sah mengekalkan kejuaraan keseluruhan edisi ke-18 temasya sukan itu selepas kekal unggul menerajui carta kutipan pingat dengan 102 pingat emas, 67 perak dan 50 gangsa, diikuti Jepun (52-47-63), manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan pungutan 37-42-50.
Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dalam beberapa acara pada hari ke-12 pertandingan hari ini, antaranya berbasikal trek, ekuestrian dan terjun.
-- BERNAMA
#emas #Jakarta #kontinjen #Malaysia #Palembang #papan anjal seirama #Perak #pingat #silat #Sukan Asia
;