Tiada keperluan Zii Jia kembali ke BAM - Hannah
Astro Arena
April 7, 2023 07:50 MYT
April 7, 2023 07:50 MYT
MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia pulang ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Katanya, program Road to Gold (RTG) akan membantu atlet negara sebaik mungkin dengan memberi contoh jika Zii Jia ingin berlatih di Ipoh, dan itu merupakan pilihan terbaik untuk atlet tersebut, maka RTG akan sedaya upaya memastikan perkara itu menjadi realiti.
"Selepas Zii Jia menyertai Seluruh England, kami ada berhubung dan mahu berjumpa selepas dia pulang ke Malaysia," kata Hannah.
"Keperluan setiap atlet adalah berbeza. Setiap pemain memiliki komitmen yang tertentu, tidak mengira atlet profesional atau di bawah naungan badan induk sukan.
"Jika dia mahu berlatih di Ipoh, Perak, kami akan berusaha membantu mengikut kemampuan untuk menyediakan apa yang terbaik buat atlet tersebut," katanya.
Sementara itu, gandingan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menarik nafas lega apabila disenaraikan dalam program Road to Gold ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Shevon berkongsi program ini bakal meringankan beban mereka untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris sekaligus meningkatkan keyakinan mereka meletakkan sasaran pingat.
"Saya sangat lega kerana tersenarai dalam RTG ke Sukan Olimpik.
"Sebelum ini kami berdepan cabaran daripada setiap aspek, bertindak sebagai pemain profesional, kami perlu mendapatkan sumber kewangan yang kuat sebagai persiapan latihan dan menghadapi kejohanan," kata Shevon.